52 tahun sediakan perlindungan sosial rakyat

Perkeso komited perkasakan perkhidmatan yang universal, mampan dan inklusif

A
A
A

Dasar keterangkuman Perkeso tidak meminggirkan mana-mana pihak yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Dasar keterangkuman Perkeso tidak meminggirkan mana-mana pihak yang menyumbang kepada ekonomi negara.

SHAH ALAM - Sepanjang lima dekad yang lepas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah berkembang sebagai sebuah institusi yang berdedikasi dan komited dalam memperkasa perkhidmatan perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Perkeso mempunyai dua misi iaitu melindungi individu daripada kehilangan upaya, bencana pekerjaan, pengangguran, penyakit dan kematian serta meningkatkan kecekapan dalam kadar pasaran buruh.

Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Tun Hussein mempunyai pandangan berwawasan tentang Perkeso pada tahun 1972. Beliau melihat pertubuhan ini bukan sekadar sebuah badan pentadbiran, tetapi sebagai pemangkin yang memacu pembangunan ekonomi negara serta membentuk dasar-dasar sosioekonomi.

Laporan terbaru daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan hanya 27.2 peratus daripada penduduk di Malaysia dilindungi secara berkesan sekurang-kurangnya daripada satu perlindungan sosial, jauh di bawah purata global sebanyak 46.9 peratus yang mencerminkan bahawa lebih banyak langkah-langkah perlu dilaksanakan.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Perkeso telah mencapai kemajuan yang ketara dalam memperluaskan perlindungan sosial Malaysia. Bermula dengan dua skim keselamatan sosial asas untuk pekerja formal iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat, Perkeso telah berkembang seiring peredaran pasaran buruh Malaysia dan kini meliputi perlindungan kepada semua golongan pekerja.

Untuk menangani masalah kekurangan perlindungan sosial terhadap pekerja informal dan pekerja platform, Perkeso kini sedang menggarap usaha memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 20 sektor tidak formal.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Perkeso juga memandang serius tentang keperluan keluarga pekerja yang tidak bergaji, termasuklah pekerja domestik. Sehubungan itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah diperkenalkan pada Disember 2022 untuk mengiktiraf golongan ini dalam ‘care economy’.

Malah, komitmen kami terhadap dasar keterangkuman diperluas supaya meliputi pekerja asing yang sah seperti ekspatriat, dan kepada mereka yang menyumbang kepada ekonomi tanpa meminggirkan sesiapa.

Di samping itu, Perkeso sedang mengenal pasti jurang dalam faedah perlindungan sosial, terutama bagi penjagaan bersalin dan penjagaan jangka panjang yang memfokus kepada skim insurans sosial yang menangani ketidaksamaan jantina dan kemiskinan di usia tua.

Perkeso juga sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan membangunkan dua pusat rehabilitasi berteknologi tinggi masing-masing di Perak dan Terengganu, sekali gus menyediakan akses pemulihan kepada penduduk di wilayah utara dan timur Semenanjung Malaysia.

Bagi mengekalkan produktiviti pekerja dalam ekonomi, penglibatan Perkeso merangkumi hubungan di antara keselamatan sosial dan dasar pasaran buruh aktif. Walaupun kadar pengangguran menyusut sejak fasa pemulihan COVID-19, tenaga kerja negara kita terus berdepan cabaran pasaran buruh berstruktur seperti penyertaan wanita yang rendah dalam tenaga kerja, kebergantungan tinggi pekerja asing berkemahiran rendah dan jurang kemahiran antara penawaran serta permintaan.

Sebagai kesinambungan kepada Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), Perkeso mengetuai Perkhidmatan Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs untuk menambah baik pemadanan pekerjaan, menerbitkan maklumat pasaran buruh awam serta melaksanakan program pasaran buruh yang aktif seperti Pameran Kerjaya MYFutureJobs dan Insentif Kerjaya Madani.

Perkeso akan terus memperkasa penyampaian perkhidmatan serta mengukuhkan kapasiti institusi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pekerja yang diinsuranskan, keluarga dan majikan. Perkeso akan berganding bahu meneruskan matlamat pertubuhan ini menuju ke arah perlindungan yang lebih universal, mampan, dan inklusif kepada semua.

*Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed ialah Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Perkeso