97 peratus manifesto ditunaikan sepanjang lima tahun

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan diterajui Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan 97 peratus manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi tempoh lima tahun tempoh pentadbiran.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai pembangunan dan bantuan diberikan untuk membela kebajikan rakyat di negeri ini meskipun ketika berdepan pandemik Covid-19 terutama kepada golongan B40, usahawan dan golongan wanita.

"Hanya tinggal tiga peratus melibatkan perundangan di Persekutuan yang tak dapat ubah iaitu cuti bersalin kerana itu melibatkan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Persekutuan, itu sahaja, yang lain alhamdulillah kita dapat laksanakan, ini merupakan sesuatu yang baik.

"Saya bagi pihak pimpinan kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih terutama kepada rakyat yang telah memberi mandat pada PRU-14 yang lepas,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan Sabtu ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, hasil negeri juga terus meningkat dalam tempoh lima tahun pentadbirannya dengan kutipan pada 2019 sebanyak RM556 juta iaitu antara yang tertinggi direkodkan manakala pada tahun lepas berjumlah RM521 juta.

Jelasnya, pelaburan negeri juga mencecah RM9 bilion pada tahun lepas dan dijangka terus meningkat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam negeri yang sentiasa menunjukkan komitmen terbaik dalam melancarkan dan menggerakkan pentadbiran kerajaan dengan baik.

"Mereka berjaya mengubah daripada kerja biasa kepada luar biasa, saya tahu mereka akan terus dapat lakukan yang terbaik jika diberikan ruang,” katanya.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang pertama adalah pada 2 Julai 2018, selepas PRU14 pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun berakhir pada 1 Julai ini.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN yang menyaksikan PH menguasai 20 kerusi (DAP-11, PKR-enam, Amanah-tiga), manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-satu). - Bernama