IPU tidak sihat: ADUN cadang tangguh semua aktiviti luar bilik darjah

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Danial Al Rashid Haron
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Danial Al Rashid Haron
A
A
A

SHAH ALAM - Aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguh sementara berikutan kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron berkata, keadaan udara tidak sihat boleh memberi kesan serius kepada kesihatan pelajar, terutama apabila mereka terdedah kepada tahap pencemaran udara yang tinggi.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan proaktif dan berhati-hati berkaitan kesihatan pelajar, terutama dalam konteks persekitaran pembelajaran di sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Selasa, tiga kawasan di Selangor dan satu kawasan di Kuala Lumpur merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dalam tempoh sehingga jam 12 tengah hari pada Selasa.

Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di Banting iaitu 114, Shah Alam (116) dan Petaling Jaya (119) manakala di Cheras mencatatkan IPU 155.

Sementara itu kawasan lain merekodkan bacaan IPU pada paras sederhana iaitu di bawah 100 seperti di Batu Muda (96), Johan Setia (89) dan Klang (95) sementara di Putrajaya (93).

Dalam pada itu, Danial menambah KPM perlu bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi mendapatkan data terkini berhubung kualiti udara di kawasan terjejas untuk membuat keputusan.

Menurutnya, kementerian juga perlu mengeluarkan panduan kepada sekolah dan pihak berkepentingan berhubung langkah yang wajar diambil apabila kualiti udara tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian perlu menjalankan komunikasi berkesan dengan ibu bapa untuk memberi maklumat jelas tentang situasi kualiti udara dan langkah yang diambil untuk melindungi pelajar,” katanya lagi.