Bina LRT di Bandaraya JB atasi kesesakan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Transit Aliran Ringan (LRT) perlu dibina di bandar raya ini supaya sistem jaringan pengangkutan awam lebih efisien sekali gus mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, ini bersesuaian dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang giat dibangunkan ketika ini.

"Kita tiada satu jaringan pengangkutan awam yang baik. Sudah tiba masanya bandar raya ini dilengkapi dengan kemudahan LRT seperti di Kuala Lumpur atau di Singapura.

Noorazam mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum, Johor Bahru pada Selasa.
Noorazam mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum, Johor Bahru pada Selasa.

"Mungkin sebelum pembinaan RTS kita tidak melihat keperluan itu tetapi sekarang tidak lagi. Kalau kita lihat keadaan di bandar raya ini sesak dan padat dengan kemasukan kenderaan persendirian termasuk kereta dari luar.

"Apabila RTS siap kelak, kita jangka seramai 10,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan itu setiap jam, jadi terdapat keperluan mendesak untuk ditambah baik pengangkutan awam bagi menyokong RTS yang menghubungkan bandar raya ini dengan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di Bukit Senyum di sini pada Selasa.

Noorazam percaya, keperluan itu bukan sahaja di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), malah meliputi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan juga Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).

Artikel Berkaitan:

Beliau bimbang sekiranya sistem jaringan pengangkutan awam di pusat bandar raya ini tidak ditambah baik segera, kesesakan yang berlaku akan kekal berterusan.

"Johor Bahru unik kerana ia bersempadan dengan Singapura, itu merupakan antara faktor kepada kesesakan jalan raya khususnya pada hujung minggu, selain itu termasuklah pelbagai projek pembinaan yang sedang giat dilaksanakan.

"Namun begitu, MBJB akan berusaha untuk tambah baik perkhidmatan tempat letak kenderaan di lokasi bersesuaian selain turut menyediakan perkhidmatan 'feeder bus' bagi memudahkan pengguna," katanya.