Lima rakan didakwa rompak kilang elektronik

Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dakwaan merompak unit-unit cip ditolak di Kilang Carsem, September lalu.
Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dakwaan merompak unit-unit cip ditolak di Kilang Carsem, September lalu.
A
A
A

IPOH - Lima rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan merompak unit-unit cip ditolak (cip rejected unit) di sebuah kilang elektronik, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Abd Rahim, 40; Junaidy Ali, 46; Muhamad Rozaidi Yusoff, 42; Rizuan Mohamad Yusof, 32 dan Zairul Nizam Mohd Sazali, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa secara bersama dengan niat telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga asing, Chhetri Purna Bahadur dengan merompak unit-unit cip ditolak di dalam stor barangan lusuh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilang Carsem, Jalan Lapangan Terbang, Taman Maju Rapat di sini sekitar jam 8.45 malam pada 14 September lalu.

Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin telah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Junaidy diwakili peguam A Logaprieyan manakala empat empat yang lain diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah masing-masing memohon agar kesemua tertuduh diberikan jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan enam lelaki yang mendalangi kes samun bersenjata di sebuah kilang elektronik di Jalan Lapangan Terbang di sini berjaya diberkas.

Kesemua warga tempatan berusia antara 27 hingga 47 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di Ipoh, Pulau Pinang dan Selangor pada 21 dan 22 September lalu.

Kumpulan itu telah memecah masuk dalam kawasan kilang dan mengikat pengawal keselamatan sebelum melarikan logam mampat bernilai lebih RM180,000 menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.