Belasah penghantar makanan bunyikan hon, tiga suspek diberkas

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang lelaki yang memukul penghantar makanan menerusi video tular baru-baru ini mengundang padah apabila suspek bersama dua lagi rakannya diberkas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tiga lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 39 tahun yang merupakan pekerja trak penunda itu ditahan sekitar daerah ini kira-kira jam 6.30 petang.

"Saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek utama terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, semakan dijalankan turut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau turut menjelaskan, kesemua suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, seorang penghantar makanan dibelasah selepas didakwa membunyikan hon terhadap sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, menghala ke Klang.

Kejadian yang kemudiannya tular di media sosial itu menimbulkan kecaman netizen seterusnya meminta agar suspek terlibat segera diberkas pihak polis.