'Payah macam mana pun, warga asing masih yakin dengan Malaysia'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BARU-BARU ini, Merak Jalanan bersembang dengan seorang tukang rumah yang berasal dari negara jiran. Dia sudah lama mencari rezeki halal di negara ini.

“Dulu, RM50 boleh beli dua kampit beras 10 kilogram, sekarang ini tak lagi. Belanja dapur RM100 pun seperti tak cukup,” kata lelaki warga Indonesia ini kepada Merak Jalanan.

Menghuni sebuah rumah flat dengan empat pasangan suami isteri, katanya, setiap orang sudah mula mencatu makanan.

“Dah tak boleh kongsi macam dulu. Sekarang sendiri masak, sendiri makan sebab kita tak nak bebankan sesiapa,” katanya lagi.

Dalam keterdesakan hidup di sini, tukang rumah itu berkata, duit bulanan anak-anak tetap dihantar dengan jumlah sama. Katanya, biarlah kepayahan hanya mereka sahaja yang tahu.

Merak Jalanan kemudian bertanya situasi ekonomi di negara asalnya, adakah ia mencengkam seperti di Malaysia?

Tulus dia berkata, di kampungnya, padi ditanam sendiri, haiwan diternak ahli keluarga begitu juga dengan sayur-sayuran. Barangan keperluan lain masih mampu dibeli.

Sengaja Merak Jalanan mengusik, mungkin ada keinginan untuk kembali ke kampung halaman dalam masa terdekat ini rentetan kehidupan semasa yang semakin meruncing. Lelaki lingkungan usia 60-an itu terdiam seketika.

Artikel Berkaitan:

Selang seminit, dia bersuara: “Tak mungkin saya balik ke Indonesia kerana negara ini menjadi sumber rezeki saya. Malah, dia juga yakin kerajaan Malaysia tidak akan berdiam dalam membantu rakyatnya menangani kos sara hidup".

Perbualan 10 minit itu menyedarkan Merak Jalanan bahawa masalah kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja menghimpit orang kita, malah warga asing yang mencari rezeki di negara ini.

Cuma Merak Jalanan terfikir, orang luar pun yakin dengan Malaysia, takkan kita masih ada perasaan ragu-ragu dengan negara sendiri.