JPJ Pahang sita 129 motosikal ditunggang warga asing

Operasi Penutup Ops Khas Motosikal Tahun 2023 JPJ Pahang diadakan di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu di sini pada Jumaat.
Operasi Penutup Ops Khas Motosikal Tahun 2023 JPJ Pahang diadakan di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menyita 129 motosikal ditunggang warga asing tanpa lesen sepanjang Ops Khas Motosikal 2023 yang dijalankan di negeri ini.

Operasi itu telah diadakan di seluruh negara selama sebulan bermula 1 hingga 30 September 2023.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 29,501 motosikal diperiksa dan 4,300 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebanyak 362 motosikal telah disita dan 129 daripadanya ditunggang penunggang warga asing yang tidak memiliki lesen memandu.

"Sepanjang Ops Khas Motosikal itu juga, JPJ Pahang telah mengeluarkan 8,582 saman atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan yang paling banyak dikesan tiada lesen memandu dengan 2,880 kes, diikuti dengan lesen kenderaan motor tamat tempoh (1,990 kes), tiada perlindungan insuran (1,770 kes) dan kesalahan teknikal (1,722 kes)," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Anggota penguat kuasa JPJ melakukan pemeriksaan ke atas pengguna motosikal pada Operasi Penutup Ops Khas Motosikal Tahun 2023 JPJ Pahang di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu di sini pada Jumaat.
Anggota penguat kuasa JPJ melakukan pemeriksaan ke atas pengguna motosikal pada Operasi Penutup Ops Khas Motosikal Tahun 2023 JPJ Pahang di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu di sini pada Jumaat.

Operasi Penutup Ops Khas Motosikal Tahun 2023 JPJ Pahang diadakan di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu di sini pada Jumaat dengan kekuatan 31 pegawai dan anggota.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Iskandar berkata, JPJ Negeri Pahang telah menggerakkan 252 anggota seluruh negeri Pahang sepanjang operasi khas itu dengan menekankan kepada aktiviti advokasi dan penguatkuasaan.

"Strategi penguatkuasaan kali ini memberi tumpuan utama kepada motosikal bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah – kaedah di bawahnya.

"Berdasarkan data statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,313 kematian direkodkan akibat kemalangan di negara ini dalam tempoh Januari hingga Jun lalu dan 1,889 daripadanya melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal,"katanya.

Ops Khas Motosikal dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan.
Ops Khas Motosikal dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan.

Beliau berkata, kes-kes kemalangan dan kematian akibat kemalangan motosikal yang tinggi dipandang serius jabatan itu.

"Justeru fokus utama keselamatan jalan raya di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2023 bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian melibatkan motosikal," katanya.