Dua beradik dikhuatiri lemas di Sungai Pagalan

Operasi SAR dilakukan di kawasan Sungai Pagalan, Keningau.
Operasi SAR dilakukan di kawasan Sungai Pagalan, Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Dua beradik dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pagalan, di Kampung Linkudou, dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Azila Jabar, 12, dikatakan terjun ke sungai bagi menyelamatkan adiknya, Arlina, 9, yang terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang.

Katanya, seramai 12 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Keningau.

"Menurut saksi, dua kanak-kanak itu bermain di tebing sungai namun seorang daripadanya terjatuh dan kakaknya terjun untuk menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, kedua-duanya hilang dipercayai dibawa arus sungai dan kejadian itu segera dilaporkan kepada pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sharudy berkata, pasukan bomba bersama pihak polis masih melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di atas permukaan sungai.

"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan: