Pelantikan wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN dibentang di Parlimen - Armizan

Armizan ketika ditemui pemberita semasa program Wacana Madani MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah dalam Malaysia di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Armizan ketika ditemui pemberita semasa program Wacana Madani MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah dalam Malaysia di Menara Kinabalu, pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelantikan secara pentadbiran wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan diperkukuhkan dengan pelantikan keanggotaan tetap menerusi kuatkuasa undang-undang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan tersebut akan dilaksanakan melalui pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 RUU LHDNM (Pindaan) 2023) yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang akan bersidang mulai 9 Oktober sehingga 30 November 2023.

Ujar beliau, pembentangan itu sejajar dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu.

"Mesyuarat yang berlangsung di Kuching dan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperakukan syor Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).

"Syor ini supaya perwakilan tetap kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota lembaga, LHDN telah dibangkitkan kali pertama dalam platform rasmi perundingan pelaksanaan MA63 oleh kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 pada 18 Oktober 2021," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir pada program Wacana Madani MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah dalam Malaysia di Menara Kinabalu, pada Isnin.

Tambah beliau lagi, syor itu telah dibangkitkan atas asas untuk mengembalikan kedudukan asal kewujudan perwakilan kedua-dua negeri ini dalam institusi tersebut sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

"Tuntutan ini juga sejajar dengan peruntukan berhubung percukaian seperti terkandung dalam sub perenggan 24(1) Financial Provisions, Inter-Governmental Committee (IGC) Report pada tahun 1962.

Artikel Berkaitan:

"Keanggotaan wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam Malaysian Board of Income Tax telah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan pada ketika itu.

"Pelaksanaan pada ketika itu adalah berdasarkan peruntukan dalam undang-undang melalui Perintah 1964 yang berlandaskan Income Tax Ordinance 1947 of the States of Malaya dan Income Tax Ordinance 1956 of Sabah serta Inland Revenue Ordinance 1960 of Sarawak.

"Bagaimanapun, peruntukan mengenai keanggotaan wakil Negeri Sabah dan Sarawak ini terhenti apabila Malaysian Board of Income Tax dan ketiga-tiga undang-undang berkaitan dimansuhkan setelah semua perkara berkaitan cukai pendapatan dikawal selia oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia mulai tahun 1967 dan kemudiannya diteruskan oleh LHDN yang telah ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah Akta 533," katanya.

Sehubungan itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, Pindaan Akta 533 yang memperuntukkan keanggotaan tetap wakil kerajaan Sabah dan Sarawak ini menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan isu tertangguh berkaitan MA63 sekali gus menghormati serta mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.