PRK Pelangai: Calon BN banyak kelebihan

Mohd Hairi (kanan) cuba memanah dalam Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, pada Ahad
Mohd Hairi (kanan) cuba memanah dalam Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, pada Ahad
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pengundi perlu memilih calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan kerana berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ini berbeza dengan calon Perikatan Nasional (PN) yang tidak mempunyai banyak akses kepada agensi-agensi kerajaan dalam usaha membantu rakyat.

"Saya minta agar rakyat di Pelangai buat pilihan dengan betul khususnya penduduk di kawasan Felda. Kerajaan negeri Pahang sedia ada sudah selari dengan kerajaan Pusat iaitu Kerajaan Perpaduan.

"Jadi tiada sebab untuk mereka memilih calon pembangkang yang tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk setempat. Wakil rakyat pembangkang juga tidak mempunyai banyak peruntukan dan jalinan kerjasama berbanding wakil rakyat kerajaan," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor di Taman Mutiara Rini di sini pada Ahad yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menentang calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu kerana beliau merupakan antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Parti Pejuang Tanah Air (65 undi).

Mengulas lanjut, Hairi yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri meminta pengundi DUN Pelangai tidak termakan hasutan pembangkang selepas menjanjikan pelbagai perkara.

"Mereka tidak boleh buat apa-apa dan jangan risau dengan perkara yang dijanjikan mereka kerana ia tidak boleh terjadi disebabkan PN bukan kerajaan," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, beliau berkata, Johor mahu mengekalkan status selaku kuasa sukan baharu tanah air dengan mengulangi pencapaian bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) dalam kejohanan itu yang bakal diadakan di Sarawak, tahun depan.

"Hasrat ini selari dengan matlamat Johor menjadi hab sukan di negara ini. Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) giat menggerakkan pelbagai inisiatif dengan kerjasama persatuan sukan, sebagai contoh memanah dan berbasikal.

"Banyak program diadakan yang turut melibatkan peserta antarabangsa. Jadi saya lihat ini sebagai usaha yang baik dalam menyediakan bakat-bakat pelapis yang boleh mewakili negeri khususnya di kejohanan Sukma. Ini kerana Johor mahu kekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas," katanya.

September tahun lalu Johor berjaya muncul juara keseluruhan Sukma ke-20 dengan memenangi 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa serta itu merupakan pertama kali buat skuad negeri sepanjang 36 tahun sejarah penganjuran kejohanan itu di negara ini.