PATI kempunan balik kampung

Cubaan 33 orang PATI keluar dari negara ini menerusi jalan laut tidak diwartakan menemui kegagalan apabila ditahan pihak berkuasa di kawasan pantai Kelanang, Banting, Selangor pada Jumaat.
Cubaan 33 orang PATI keluar dari negara ini menerusi jalan laut tidak diwartakan menemui kegagalan apabila ditahan pihak berkuasa di kawasan pantai Kelanang, Banting, Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Cubaan 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia keluar dari negara ini menerusi jalan laut yang tidak diwartakan gagal apabila ditahan pihak berkuasa di kawasan pantai Kelanang, Banting dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih telah menemukan kumpulan PATI tersebut jam 1.30 petang.

Beliau berkata, ketika ditemui, pasukan PGA bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan pantai Kelanang.

"Pasukan keselamatan yang sedang membuat rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut telah terserempak dengan sekumpulan individu yang mencurigakan.

"Hasil daripada pemeriksaan dilakukan, kesemua individu yang merupakan 22 orang lelaki dan 11 wanita warganegara asing gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Ridhwan berkata, hasil soal siasat juga mendapati kesemua suspek mengaku ingin keluar dari Malaysia menerusi jalan laut yang tidak diwartakan.

Katanya, kesemua PATI tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, suspek yang ditahan berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kesemua yang ditahan telah direman selama 14 hari di Balai Polis Banting.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan," ujarnya.