SPRM pelopori kaedah siasatan jenayah kewangan - Azam

Azam bercakap dalam wawancara khas sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini. Foto Bernama
Azam bercakap dalam wawancara khas sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan lagi skop penyiasatannya dengan mempelopori kaedah siasatan jenayah kewangan bagi menyiasat sebarang salah laku dalam kewangan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia merupakan kaedah terkini digunakan suruhanjaya itu bagi menyiasat kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan jumlah kewangan berskala besar dan berprofil tinggi.

"Kaedah siasatan jenayah kewangan ini bukan saja dilaksanakan dan dipelopori oleh SPRM tetapi kita akan bekerja bersama beberapa agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila siasatan melibatkan kes yang besar atau yang bersindiket (syndicated crime) berkaitan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa wawancara khas sempena ulang tahun SPRM ke-56 di Ibu Pejabat SPRM, di sini baru-baru ini.

Azam berkata, SPRM perlu menggunakan kaedah dan strategi bersesuaian dengan peredaran semasa dalam usaha menangani rasuah dan salah guna kuasa dengan lebih efektif.

Beliau berkata, menerusi kaedah tersebut juga, SPRM telah mencatatkan kejayaan antaranya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa menerusi Op Tropicana, hasil kolaborasi siasatan dengan agensi luar negara.

Februari lepas, SPRM berjaya membongkar satu sindiket penipuan pelaburan yang menyaksikan lima warga Britain dan dua rakyat Filipina antara 10 individu yang ditahan suruhanjaya itu dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang mana ia turut melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

Susulan kejayaan itu, beliau berkata, SPRM perlu terus bekerjasama dengan agensi tempatan serta antarabangsa, memandangkan masing-masing mempunyai kepakaran dalam aspek tertentu yang dapat membantu dari pelbagai sudut siasatan, ke arah memerangi rasuah dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak boleh 'work in silo' (bekerja sendiri) kerana ia menyebabkan kita (SPRM) hanya fokus kepada satu perkara atau sudut sahaja.

"Dengan kerjasama agensi lain yang dinamakan pasukan petugas atau pun secara berpasukan, mereka boleh membantu dari segi kepakaran dan undang-undang mereka, manakala siasatan diketuai oleh SPRM bagi siasatan sesuatu kes,” katanya.

Selain itu, Azam berkata, beliau tidak mahu berbicara soal menambah keanggotaan sahaja, sebaliknya menekankan soal pelaksanaan tugas dengan lebih berkesan dalam kalangan anggota.

"Sekali lagi, kita tidak mahu bercakap hanya mahu menambah keanggotaan tetapi yang pentingnya adalah cara kita melakukan kerja.

"Begitulah perkembangan SPRM, kita mulakan dengan tenaga dan bajet yang sedia ada tetapi memfokuskan kepada kes yang mendatangkan kebaikan kepada negara dengan keanggotaan yang ada,” katanya.

Sambutan ulang tahun ke-56 SPRM yang disambut hari ini bertemakan ‘Rasuah Dihina, Maruah Dibina’. - Bernama