200 pelajar rasai pengalaman 'mengundi' dalam pilihan raya

Pelajar SMK Sungai Burong melaksanakan tanggungjawab 'mengundi' pada simulasi pilihan raya di sekolah terbabitpada Jumaat.
Pelajar SMK Sungai Burong melaksanakan tanggungjawab 'mengundi' pada simulasi pilihan raya di sekolah terbabitpada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kira-kira 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burong merasai pengalaman 'mengundi' dalam pilihan raya meskipun belum mencapai usia 18 tahun.

Bagaimanapun, kesemua mereka itu terlibat dalam simulasi pilihan raya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sekolah terbabit pada Jumaat.

Ketua Program Pendidikan Pengundi Akademi Pilihan Raya SPR, Mohd Rizan Md Drus berkata, program berbentuk taklimat dan simulasi itu anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Selangor dengan kerjasama SPR dan SMK Sungai Burong.

"Program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah serta pemahaman mengenai demokrasi dan proses pilihan raya," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Mohd Rizan berkata, pendidikan mengenai demokrasi dan pilihan raya perlu didedahkan sejak di awal usia supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses tersebut.

"Pelajar ini didedahkan dengan proses mengundi bermula daripada semakan nama, menanda jari dengan pewarna, menanda kertas undi dan membuang undi dalam kotak disediakan.

“Tatacara peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh mengundi juga turut didedahkan agar pelajar ini dapat memahami proses sebenar pilihan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor, Hufaidatul Azfa Saffie berkata, program sama juga akan dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada ahli Kelab Malaysiaku.

Artikel Berkaitan:

"Program sama melibatkan dua sekolah iaitu di SMK Puncak Alam 3 Jeram dan SMK Raja Muda Musa Ijok.

"Tujuan penganjuran program ini memberi pendedahan awal kepada pelajar yang bakal menjadi pengundi dalam pilihan raya akan datang," tambah beliau.