Dua lelaki ditahan miliki 400kg daun ketum

No Image Caption
A
A
A
JELI - Polis menahan dua lelaki selepas menemui 400kg daun ketum yang dianggar bernilai RM12,000 dalam kenderaan yang dipandu mereka, berhampiran dengan Hentian Rehat dan Rawat Kampung Gemang, Ahad lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Komisioner, Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, suspek yang berusia 26 dan 17 tahun yang berasal dari Pasir Mas dan Kedah itu pada mulanya dikesan semasa sedang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Belimbing, Batu Melintang di sini, kira-kira pukul 1.30 pagi.

Beliau berkata, semasa ditahan mereka bagaimanapun enggan berhenti, sebaliknya terus memecut laju, menyebabkan polis terpaksa mengejar, dan akhirnya kenderaan suspek itu terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kampung Gemang.

Katanya kedua-dua suspek dipercayai mengambil upah untuk menghantar daun ketum ke Pasir Mas dengan bayaran sekitar RM400, dan siasatan awal mendapati bekalan yang diperoleh dari Kedah itu adalah untuk pasaran sekitar Pasir Mas.

“Siasatan juga mendapati kenderaan yang digunakan suspek adalah kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Artikel Berkaitan:


Nik Ahmad Kamil berkata berkata kedua-dua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara merbahaya. - Bernama