'Puad Zarkashi tolong baca penghakiman dengan betul' - Ahmad Amzad

Laporan sinar Harian pada Rabu. Gambar kanan: Ahmad Amzad
Laporan sinar Harian pada Rabu. Gambar kanan: Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menempelak kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi kerana disifatkan telah mendakwa dirinya dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid sebagai perasuah.

Menurut beliau, kenyataan dibuat Mohd Puad bertentangan dengan keputusan mahkamah terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasion (BN) terhadap mereka sebelum ini.

"Saya ingin merujuk kenyataan Datuk Puad Zarkashi sebagaimana dilaporkan berkata, 'mahkamah memutuskan calon Kuala Terengganu dan Kemaman sebagai perasuah'. Ini adalah salah dan bertentangan dengan keputusan mahkamah.

"Jadi saya minta sebagai seorang ahli politik yang senior Datuk Mohd Puad Zakarshi tolong baca penghakiman dengan betul kerana tafsiran terhadap penghakiman ini telah dibuat oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) di dalam memutuskan kelayakan untuk saya bertanding dalam pilihan raya lalu (Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena program Permata Maulidur Rasul di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis.

Tambah Ahmad Amzad, setakat ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak menjalankan siasatan dan ia menunjukkan tiada wujud kaitan dengan unsur rasuah.

"Berkenaan petisyen Kemaman, isunya sama kerana berkait dengan program kerajaan negeri di dalam membantu rakyat. Pada pandangan saya, tak boleh lah 'double standard'.

"Tak boleh lah bila (melibatkan) kerajaan negeri ia jadi salah tapi dalam masa yang sama Kerajaan Persekutuan bila buat perkara sama (misalnya) program memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat dia kata sebagai inisiatif kerajaan pula," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Amzad yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkata, kemenangan dengan majoriti 27,000 undi di kawasan berkenaan menggambarkan keputusan yang dibuat rakyat.

"Ia adalah satu isyarat jelas kemahuan rakyat, sama seperti di Kuala Terengganu. Saya rasa masing-masing boleh menilai apa-apa tindakan supaya tidak merugikan wang cukai rakyat untuk digunakan sekiranya perlu diadakan pilihan raya yang akhirnya keputusannya sama sahaja. Ini adalah membazir.

"Apa yang pasti perlu diberi penghormatan sewajarnya terhadap keputusan yang dibuat oleh rakyat," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan Mohd Puad mencadangkan supaya SPRM menyiasat dan mendakwa calon Pas di Kuala Terengganu dan Kemaman berhubung isu rasuah dan sogokan.

Mohd Puad berkata, situasi amat ganjil kerana mahkamah memutuskan kedua-dua calon itu perasuah tetapi tidak didakwa dan boleh bertanding semula.

Ujar beliau, situasi tersebut mungkin juga boleh berlaku di Masjid Tanah melibatkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin apabila Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada Isnin menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh keputusan petisyen pilihan raya untuk kerusi Parlimen di kawasan berkenaan.