PRK Pelangai: Penduduk mahu perkhidmatan bas, ambulans

Gambar dari kiri: Gheeta, Puspadevi, Nagama
Gambar dari kiri: Gheeta, Puspadevi, Nagama
A
A
A

BENTONG - Isu perkhidmatan bas dan kemudahan ambulans antara yang ditagih buat penduduk di Kampung Sungai Gapoi dekat sini dalam menjalani kehidupan harian serta berdepan urusan kecemasan.

Seorang warga emas, M Nagama, 73, merayu supaya perkhidmatan bas henti-henti dikembalikan di laluan tersebut.

"Susah nak pergi ke bandar atau klinik kesihatan, kalau tak memang kena sewa kereta," kata warga emas itu yang menghidap penyakit darah tinggi.

Bagi seorang pekerja swasta, G Gheeta, 22, sejak perkhidmatan bas dari Pelangai ke Bentong ditamatkan bermula 1 Oktober lalu, dia terpaksa menunggang motosikal seorang diri walaupun risau dengan keselamatan diri.

"Jadi kalau boleh kami di sini merayu supaya perkhidmatan bas dikembalikan demi kemudahan penduduk," kata gadis tersebut yang bekerja di sebuah dusun buah di Karak.

Sementara itu, seorang orang pekerja kantin sekolah, S Puspadevi, 46, berharap penduduk di kawasan itu mendapat perkhidmatan ambulans khususnya ketika kecemasan.

"Buat masa ini, perkhidmatan ambulans ada di Pelangai dan Karak, jarak perjalanan memakan masa hingga setengah jam juga.

"Jadi bila terdesak, terpaksa guna kenderaan estet untuk urusan kecemasan," katanya yang pernah berdepan detik cemas apabila dua anaknya ditimpa kemalangan beberapa bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Mereka ditemui ketika Program Ramah Mesra calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam bersama masyarakat India di kampung tersebut pada Khamis.

Sementara itu, Amizar memberitahu, perkara itu telah mendapat perhatian dan akan melihat keperluan-keperluan lain untuk penduduk di kawasan terbabit.