Banjir: Jumlah mangsa meningkat di Kedah

Seorang kanak-kanak berehat seketika selepas membantu keluarganya membersihkan rumah di Kampung Padang Empang yang ditenggelami air. - Foto Bernama
Seorang kanak-kanak berehat seketika selepas membantu keluarganya membersihkan rumah di Kampung Padang Empang yang ditenggelami air. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah mencatatkan peningkatan manakala di Perlis berkurangan pagi Jumaat.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus meningkat kepada 1,908 orang daripada 576 keluarga pagi ini, berbanding 1,813 orang daripada 530 keluarga Khamis malam.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mereka daripada daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Baling dan Kota Setar yang ditempatkan di 15 PPS.

Beliau berkata, di Kubang Pasu dan Pokok Sena masing-masing terdapat tiga PPS yang dibuka, manakala di Baling, empat PPS dan Kota Setar terdapat lima PPS.

"PPS di Kubang Pasu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu, manakala PPS di Pokok Sena pula di SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan SK Permatang Limau.

"Sementara itu, PPS di Baling melibatkan SK Iboi dan SMK Jerai, SK Kampung Keda dan Surau Annur,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Suhaimi berkata, di Kota Setar, PPS melibatkan SK Taman Aman, SMK Kepala Batas dan SK Seri Gunung dan dua lagi PPS yang baru dibuka iaitu SK Titi Gajah dan SMK Alor Merah.

Di Perlis jumlah mangsa banjir pada Jumaat berkurangan kepada 44 orang berbanding 48 orang pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pengarah APM, Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, semua mangsa daripada 16 keluarga itu ditempatkan di PPS di dewan SK Kubang Gajah.

"Manga terdiri daripada 27 dewasa, 15 kanak-kanak dan dua bayi yang dipindahkan dari kampung Kubang Gajah dan Alor Ara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya keadaan cuaca hari ini cerah setakat ini. - Bernama