Misi kemanusiaan hantar bekalan makanan diteruskan - JBPM

Misi kemanusiaan menghantar bekalan makanan kepada penduduk di perkampungan di Pensiangan diteruskan oleh pasukan
Misi kemanusiaan menghantar bekalan makanan kepada penduduk di perkampungan di Pensiangan diteruskan oleh pasukan
A
A
A

NABAWAN - Misi kemanusiaan menghantar bekalan makanan kepada penduduk di perkampungan di Pensiangan diteruskan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Khamis.

Operasi bermula pada jam 10.43 pagi dengan menggunakan dua helikopter jenis Mi-171 milik JBPM dan AW 139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Nabawan dan badan bukan kerajaan daripada Forces of Love (FOL).

Menurut Ketua Zon Bomba Keningau, Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan, operasi misi kemanusiaan itu disambung semula susulan keadaan cuaca yang kurang baik pada petang Rabu.

"Penghantaran ditumpukan ke Kampung Salinatan iaitu sebanyak 1,520 kilogram bantuan bakul makanan dan Kampung Pengaraan sebanyak 670 kilogram bakul makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, operasi itu kemudian ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari selepas semua bekalan makanan telah disampaikan sejak Rabu.

"Operasi hari kedua ini adalah yang terakhir dan semua bakul makanan telah diserahkan kepada penduduk kampung," katanya.

Yuszaimi Hairrul Azwan turut memaklumkan seramai 25 anggotanya terlibat dalam misi itu yang turut dibantu oleh pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), askar Wataniah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan daripada Force Of Love (FOL).

Artikel Berkaitan:

Chun Tak (kiri) daripada FOL bersama Yuszaimi Hairrul Azwan (dua dari kiri) turut terlibat menghantar bekalan makanan ke Pensiangan.
Chun Tak (kiri) daripada FOL bersama Yuszaimi Hairrul Azwan (dua dari kiri) turut terlibat menghantar bekalan makanan ke Pensiangan.

Sementara itu, Ketua FOL Sabah, Then Chun Tak berkata, usaha daripada pihak bomba di peringkat Pusat juga banyak membantu menjayakan misi kemanusian untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas.

"Selepas misi yang pertama pada 12 September lalu, akhirnya dengan kerjasama pelbagai agensi berjaya membawa masuk lagi bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas.

"Terima kasih kepada penderma yang menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk," katanya sambil memaklumkan FOL Sabah sudah bertapak di Sabah sejak 2016.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan kira-kira 11 tan bekalan makanan dihantar di lapan perkampungan di Pensiangan susulan kejadian tanah runtuh dan banjir yang berlaku di kawasan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!