Derita pelajar sekolah buta berdiri, berhimpit dalam lori berakhir

Pelajar buta Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan di Mataram, Lombok Timur, Lombok Timor, Indonesia menaiki lori disewa
Pelajar buta Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan di Mataram, Lombok Timur, Lombok Timor, Indonesia menaiki lori disewa
A
A
A

LOMBOK - Melihat pelajar buta di Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan di Mataram, dekat sini berdiri dan bersesak dalam lori yang disewa untuk memenuhi undangan berbuka puasa di luar pada 2019 meruntun hati Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran.

Menurut Mas Imran, apa yang dilihat menyentuh hatinya dan peserta yang ketika itu hadir ke sekolah tersebut untuk menyalurkan sumbangan selepas menyampaikan bantuan misi kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami kecil di Lombok pada masa itu.

"Melihat keadaan itu kami peserta misi kemanusiaan pada masa itu berazam membantu pelajar cacat penglihatan berkenaan yang masih tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

Mereka menyewa lori jika ingin ke mana-mana pada masa itu.

"Kesusahan mereka menjadi pencetus kepada kami sebelum satu tabung dilancarkan untuk membiayai dana dan kemudian berjaya membeli sebuah van dengan harga RM140,000," katanya.

Mas Imran (dua dari kiri), Rozi (dua dari kanan) dan Hashim (kanan) dalam majlis simbolik penyerahan van di Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan, Mataram, Lombok Timur, Lombok Timor, Indonesia pada Khamis.
Mas Imran (dua dari kiri), Rozi (dua dari kanan) dan Hashim (kanan) dalam majlis simbolik penyerahan van di Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan, Mataram, Lombok Timur, Lombok Timor, Indonesia pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyerahkan van sumbangan Econsave dan MyCARE kepada Pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Fatani di sekolah itu pada Khamis.

Turut hadir Presiden Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Johor, Rozi Abd Ghani; Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan Presiden Kelab Majestic Motor Group, Zulkarnain Ishak.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut disertai ahli-ahli Kelab Majestic Bikers selain disertai wartawan dan jurugambar Sinar Harian, TV Al Hijrah, Harian Metro serta Utusan Malaysia.

Seramai 17 individu terlibat dalam Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di Lombok, Indonesia dari 27 sehingga 30 September ini.

Mengulas lanjut, Mas Imran berkata, van berkenaan digunakan untuk membawa 16 pelajar di sekolah itu untuk menghadiri aktiviti di luar termasuk memenuhi undangan daripada pihak luar.

Sementara itu Fatani, 49, bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan van tersebut yang boleh memuatkan 19 pelajar dalam satu masa.

"Sebelum ini jika mahu ke mana-mana, kami hanya menyewa lori untuk lawatan belajar di luar kelas atau memenuhi undangan pihak luar atau mahu ke mana-mana.

Kadang-kadang pihak yang mengundang ada menyediakan kenderaan, jika tidak ada, kami sewa lori," katanya.

Mas Imran (empat kiri), Rozi (lima kiri) dan Hashim (lima kanan) menyerahkan 'food pack' kepada anak yatim dan warga emas dalam majlis Peringatan Maulid Nabi Besar Muhammad SAW di Masjid Besar Jam'yiyatul Qudsiyyah Kecamatan di
Pringgasela, Lombok Timur, Lombok Timor, Indonesia pada Khamis.
Mas Imran (empat kiri), Rozi (lima kiri) dan Hashim (lima kanan) menyerahkan 'food pack' kepada anak yatim dan warga emas dalam majlis Peringatan Maulid Nabi Besar Muhammad SAW di Masjid Besar Jam'yiyatul Qudsiyyah Kecamatan di Pringgasela, Lombok Timur, Lombok Timor, Indonesia pada Khamis.

Menurutnya, terdapat 70 pelajar cacat penglihatan berusia antara tujuh hingga 20 tahun yang belajar di sekolah berkenaan dengan 36 daripadanya menghuni di situ manakala selebihnya berulang alik.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis penyerahan van tersebut, Rozi berkata, ALLAH menguji mereka dengan tidak dapat melihat namun mereka kuat daripada semangat dan jiwa.

"Ini beri kekuatan juga kepada kami untuk terus datang menyantuni anak-anak di sini.

Mungkin di akhirat nanti kamu yang akan menarik tangan kami ke syurga," ujarnya.