Tular sijil Ustaz Azhar Idrus dapat tauliah ceramah, ajar agama

Sijil tauliah mengajar dikeluarkan Majlis Maidam melibatkan Ustaz Azhar Idrus yang tular di media sosial.
Sijil tauliah mengajar dikeluarkan Majlis Maidam melibatkan Ustaz Azhar Idrus yang tular di media sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sijil tauliah mengajar agama dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melibatkan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI tular di media sosial sejak petang tadi.

Foto sijil berkenaan dikongsi sebuah halaman komuniti Facebook, Telemong Sejahtera.

"Akhirnya Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus telah mendapat tauliah mengajar di Negeri Terengganu.

"Semoga dengan pentauliahan ini, bumi Terengganu bertambah subur dan berkat dengan majlis-majlis ilmu," menurut kapsyen di hantaran itu.

Berdasarkan sijil yang tular itu, kebenaran untuk Azhar menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab sah bagi tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028.

Sebelum ini, pada 11 Mac lepas, Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) Terengganu mengesahkan Azhar antara pendakwah yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan mengadakan kuliah di negeri itu.

Statistik pemegang tauliah dikeluarkan JHEAT sehingga November tahun lalu menunjukkan hanya 30 pendakwah selebriti diberi kebenaran khas oleh pihak berkuasa negeri itu, namun Azhar tidak termasuk.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin mengesahkan Azhar dan beberapa individu lain telah hadir secara sukarela untuk memohon tauliah mengadakan ceramah dan kuliah agama pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan proses seterusnya ialah membentangkan hasil temuduga itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam Maidam sebelum tauliah dikeluarkan.

Sinar Harian sedang cuba mendapatkan pengesahan daripada Maidam dan Azhar sendiri berhubung sijil yang tular tersebut.