Menusuk kalbu, bacaan al-Fatihah adik Amir memukau warganet

BUKAN sahaja pandai menyanyi, bakat adik Amir Sisi mengaji dan bertaranum begitu dikagumi kerana lontaran suaranya begitu menusuk kalbu.
BUKAN sahaja pandai menyanyi, bakat adik Amir Sisi mengaji dan bertaranum begitu dikagumi kerana lontaran suaranya begitu menusuk kalbu.
A
A
A

HATI bagaikan bergetar hebat saat mendengar lontaran merdu suara adik Amir Sisi, 12, mengalunkan bacaan Surah al-Fatihah yang mendayu-dayu.

Suara lunaknya begitu gemersik memecah halwa telinga hingga berbekas dalam sanubari. Meremang bulu roma rasanya. Jarang penulis mendengar ‘vokal’ sebegitu indah dan memukau.

Apatah lagi datangnya daripada seorang kanak-kanak orang Asli!

Bukanlah mahu memujinya melangit, tetapi itulah yang dirasakan apabila mendengar bait-bait kalamullah terlontar dari bibir pelajar Sekolah Kebangsaan RPS Pos Kemar di Gerik, Perak itu.

Video yang dikongsikan tular di media sosial terutama di platform TikTok dan YouTube.

Menjengah di ruangan komen TikTok milik Waheeda Fazira, ramai yang melahirkan rasa kagum dengan bakat Amir.

Pengguna akaun TikTok kamariahoyub berkata: “Masya-ALLAH, merdunya suara adik Amir.”

Artikel Berkaitan:

RAMAI warganet memuji kemerduan suara adik Amir membaca al-Fatihah yang memukau selain meremangkan bulu roma mereka yang mendengarkannya.
RAMAI warganet memuji kemerduan suara adik Amir membaca al-Fatihah yang memukau selain meremangkan bulu roma mereka yang mendengarkannya.

Bagi Ayamrentung3 pula, beliau meninggalkan komen: “Kenapa bila budak ni nyanyi saja, rasa nak nangis walaupun bukan lagu sedih...menusuk kalbu,” coretnya.

Fira Sahiera pula berkata: “Nak nangis saja bila dengar suara adik Amir, merdu betul suaranya.”

Amir sebenarnya merupakan salah seorang peserta sebuah program nyanyian, The Chosen One yang hangat disiarkan sekarang stesen televisyen berbayar.

Tidak sangka selain pandai menyanyi, rupanya kanak-kanak lelaki itu berupaya bertaranum dengan baik.

Menerusi video TikTok yang dikongsikan oleh pemilik akaun TikTok Cr Lukman Moidin, bakat anak bongsu daripada lima beradik tersebut dikesan sejak kecil lagi.

Guru di Sekolah Kebangsaan RPS Pos Kemar yang dikenali sebagai Cikgu Fikri dan Cikgu Faris mendedahkan, mereka kerap mendengar Amir mengalunkan azan di surau.

“Dia selalu berzikir. Dari situ kami dapat mendengar ‘tone’ suaranya yang merdu, lunak dan boleh kita kembangkan lagi,” katanya.

Rupanya, seawal usia tujuh tahun lagi, Amir sudah mula menonjolkan bakatnya sedikit demi sedikit, kata guru-gurunya.

“Seawal Tahun 1, dia sudah menyertai kumpulan nasyid sekolah dan pada masa itu, dia menjadi solo (vokalis),” ujar Cikgu Fikri dan Cikgu Faris.