Al-Quran dialunkan dalam kereta api dari Bera ke Dabong

SEBAHAGIAN daripada 52 pelajar MRSM ATM Bera yang mengikuti program Me & My Quran Train to Dabong membaca sambil menghafaz al-Quran ketika dalam perjalanan dari Stesen Keretapi Triang di Bera, Pahang ke Dabong, Kelantan pada Sabtu lalu.
SEBAHAGIAN daripada 52 pelajar MRSM ATM Bera yang mengikuti program Me & My Quran Train to Dabong membaca sambil menghafaz al-Quran ketika dalam perjalanan dari Stesen Keretapi Triang di Bera, Pahang ke Dabong, Kelantan pada Sabtu lalu.
A
A
A

ALUNAN bait-bait suci al-Quran bergema sepanjang perjalanan lebih 300 kilometer (km) dari Stesen Keretapi Triang, Bera, Pahang ke Dabong, Kelantan pada Sabtu lalu.

Lontaran merdu kalamullah itu datangnya daripada 52 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bera yang mengikuti program Me & My Quran Train to Dabong selama tiga hari.

Program tersebut begitu istimewa kerana meraikan para pelajar sekolah berkenaan yang berjaya menghafaz lebih 15 juzuk al-Quran.

Pengetua MRSM itu, Mohd Nizar Idris berkata, acara yang bermula jam 3.20 pagi Sabtu itu bukan sekadar pengisian membaca al-Kitab dalam kenderaan awam sahaja.

“Sebaliknya, program jaulah mahabbah ini menunjukkan betapa pentingnya al-Quran dalam hati kita di mana sahaja kita berada.

“Semoga kecintaan kita kepada kalam ALLAH itu merentasi seluruh alam dan terpahat kemas dalam sanubari anak-anak ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam perjalanan pergi yang mengambil masa kira-kira enam jam itu, para huffaz turut memperdengarkan bacaan tasmik mereka kepada 23 tenaga pengajar yang menyertainya.

Artikel Berkaitan:

PELAJAR MRSM ATM Bera turut mengagihkan naskhah al-Quran percuma kepada penumpang kereta api ketika perjalanan ke Dabong.
PELAJAR MRSM ATM Bera turut mengagihkan naskhah al-Quran percuma kepada penumpang kereta api ketika perjalanan ke Dabong.

Di samping itu, mereka turut mengagihkan naskhah al-Quran percuma kepada penumpang kereta api.

Sementara itu, penyelaras program jaulah, Ustaz Muhd Fikri Kassim menjelaskan, program tersebut merupakan cetusan idea pengetua sekolah berkenaan untuk memberikan pengalaman baharu kepada pelajar merasai sendiri menaiki kereta api sambil membaca al-Quran, menghafaz dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Diharapkan program ini dapat memberikan pengalaman berharga kepada pelajar dan menambah rasa sayang kepada al-Quran yang menjadi mukjizat agung Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Bagi seorang pelajar, Nur Najwa Sofiyyah Ahmd Yang, perasaannya bercampur baur apabila ‘turun padang’ bertemu dengan masyarakat.

USTAZ MUHD FIKRI (berdiri, kiri) dan Mohd Nizar (berdiri, tiga dari kiri) merakam kenangan bersama pelajar MRSM ATM Bera yang mengikuti program Me & My Quran Train to Dabong baru-baru ini.
USTAZ MUHD FIKRI (berdiri, kiri) dan Mohd Nizar (berdiri, tiga dari kiri) merakam kenangan bersama pelajar MRSM ATM Bera yang mengikuti program Me & My Quran Train to Dabong baru-baru ini.

“Ia pengalaman yang sangat berharga buat saya. Selama ini, saya diajar untuk berdakwah melalui perbuatan, kini saya realisasikannya dalam program ini,” ungkapnya.

Salah seorang penumpang kereta api, Azidah Rahmat pula gembira dengan kejutan hadiah al-Quran yang diberikan.

“Malah, ada pelajar yang meminta saya menghadiahkan doa agar mereka berjaya di dunia dan akhirat,” katanya sambil mengharapkan program sebegitu dapat disemarakkan lagi pada masa akan datang.

Tidak hanya memfokuskan kepada bacaan al-Quran ketika dalam perjalanan ke Dabong, program Me & My Quran Train to Dabong turut mengajak para pesertanya dengan aktiviti berkaitan dengan kalamullah itu di resort berhampiran sepanjang tiga hari diadakan bermula Sabtu hingga Isnin.