Najib dibenar ke mahkamah dengar rayuan saman terhadap Tommy Thomas

Najib dibenarkan hadir ke mahkamah minggu depan untuk pendengaran rayuannya berhubung saman RM1.9 juta terhadap Tommy s atas dakwaan salah guna jawatan awam.
Najib dibenarkan hadir ke mahkamah minggu depan untuk pendengaran rayuannya berhubung saman RM1.9 juta terhadap Tommy s atas dakwaan salah guna jawatan awam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, dibenarkan hadir ke mahkamah minggu depan untuk pendengaran rayuannya berhubung saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam.

Rayuan bekas perdana menteri itu ditetapkan pada 4 Oktober di Mahkamah Rayuan. Najib mahu mengembalikan semula samannya yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding ringkas dalam talian pada Rabu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk S Nantha Balan, Datuk Azimah Omar dan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan ex-parte Najib untuk mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) Najib dari penjara bagi menghadiri prosiding rayuannya.

Ini selepas peguam Daniel Annamalai memohon OTP dikeluarkan atas alasan prosiding rayuan itu akan diadakan secara fizikal.

Pada 25 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy untuk membatalkan saman Najib terhadapnya yang mendorong Najib memfailkan notis rayuan pada 22 Disember.

Dalam samannya, Najib mendakwa beliau telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tommy adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau memohon pengisytiharan bahawa Tommy telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya. - Bernama