Bertanding semula atau tidak terserah keputusan parti - Che Alias

Che Alias - Foto Facebook Che Alias Hamid
Che Alias - Foto Facebook Che Alias Hamid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada akan mengekalkan beliau bertanding atau sebaliknya, jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kawasan berkenaan.

"Kalau tidak dipilih menjadi calon, saya terima dengan rela hati semua keputusan dibuat oleh pimpinan utama Pas," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen.

Dalam pilihan raya tersebut, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.

Ujar beliau, keperluan mengemukakan rayuan atau tidak berhubungan keputusan mahkamah itu, ia terserah kepada pimpinan parti.

"Ia bergantung pada keputusan kepimpinan Pas Pusat dan apa-apa keputusan kita terima,” katanya.

Artikel Berkaitan: