Padah papar iklan tanpa lesen

Mahkamah Majistret Telok Datok menjatuhkan hukuman denda terhadap dua pemilik kedai cermin mata dan syarikat perkakasan elektrik kerana mempamerkan iklan perniagaan tanpa lesen.
Mahkamah Majistret Telok Datok menjatuhkan hukuman denda terhadap dua pemilik kedai cermin mata dan syarikat perkakasan elektrik kerana mempamerkan iklan perniagaan tanpa lesen.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua pemilik kedai cermin mata dan syarikat rangkaian penjualan barangan elektrik didenda masing-masing RM500 dan RM600 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, pada Rabu kerana mempamerkan iklan perniagaan tanpa lesen, baru-baru ini.

Bagi pemilik kedai cermin mata, lelaki berusia 40-an itu dikenakan denda RM500, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Mengikut pertuduhan, dia yang tidak diwakili peguam, didakwa mempamerkan iklan perniagaan tanpa lesen Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Pertuduhan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 7, UUK Iklan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2007.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu, pemilik syarikat rangkaian penjualan barangan elektrik dan elektronik didenda RM600 selepas mengaku bersalah, mempamerkan iklan tanpa lesen di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting di sini dan pertuduhan dibuat mengikut UUK yang sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut diperintah untuk menjalani hukuman penjara selama tiga hari, jika gagal membayar denda berkenaan.

Di mahkamah sama, seramai empat tertuduh didakwa atas kesalahan UUK 28(1)(a) UUK Pelesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian, Perenggan Lapan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MDKL) 2007.

Mereka dikenakan denda antara RM100 hingga RM500 atau sebulan penjara, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Selain itu, dalam kes berasingan, mahkamah turut mengeluarkan tiga waran tangkap terhadap tiga tertuduh kerana gagal hadir atas kesalahan UUK 7 UUK Iklan (MDKL) 2007, Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Perenggan Lapan Perintah Pengangkutan Jalan, MDKL 2007.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan MPKL, Hasrizal Abdul Rahim dan Pegawai Pendakwa MPKL, Ahmad Razali Abdul Manaf.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan perlu mendapatkan lesen iklan daripada MPKL, sebelum menjalankan apa-apa perniagaan.

Beliau berkata, pihak tersebut juga perlu memperbaharui permit pemadam api yang menjadi faktor utama keselamatan sesebuah premis perniagaan.

Amirul Azizan berkata, mulai 1 April tahun lalu, MPKL menggunakan sistem 'Smart Selangor Parking' menerusi aplikasi di telefon bimbit.

"Sistem ini amat mudah kerana pengguna tidak perlu mencari mesin untuk membayar parkir malah tidak menggunakan kupon," katanya.

Susulan itu beliau berkata, tindakan bakal diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang MPKL sedia ada.