Isu kurang beras: Gerakan syor beberapa cadangan jangka pendek

Gambar kecil: Dominic Lau
Gambar kecil: Dominic Lau
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mensyorkan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi menyelesaikan masalah kekurangan beras tempatan dalam jangka masa pendek.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, antaranya adalah dengan memberi subsidi bersasar dalam masa terdekat supaya rakyat tidak terpaksa untuk membeli beras import yang mahal.

Menurutnya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi pembelian beras putih import sehingga bekalan beras putih tempatan pulih seperti sedia kala.

"Subsidi bersasar perlu diberikan kepada golongan B40 dan M40 dan kaedah pelaksanaan ini boleh rujuk kepada kaedah kerajaan sebelum ini semasa pandemik Covid-19.

"Kerajaan boleh memberi baucar kepada rakyat melalui wakil rakyat dan daripada itu kita dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa membeli beras import yang harganya dinaikkan berkali-kali dalam tempoh beberapa bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, beliau menambah pihak kerajaan juga perlu membantu peruncitan dan peniaga dalam kos logistik untuk penyelarasan kekurangan beras tempatan.

Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan gelombang kekurangan beras tempatan telah menjadi seperti wabak di kebanyakan kawasan di negara kita.

"Saya mencadangkan agar kerajaan mengambil inisiatif berbincang dengan peruncit atau pengeluar beras di negeri yang mempunyai stok beras tempatan berlebihan untuk diagihkan ke kawasan-kawasan lain yang menghadapi kekurangan beras tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah untuk melaksanakan cadangan ini termasuk kerajaan menanggung kos penghantaran atau logistik pengambilan beras tersebut," kata Dominic.

Dalam pada itu, Gerakan turut mencadangkan agar kerajaan menangguhkan semua rancangan untuk mengeksport beras putih

Menurut Dominic, pada pertengahan tahun ini kerajaan telah menyatakan kesanggupan mereka untuk mengeksport beras putih ke negara luar.

Sehubungan itu, Gerakan menyarankan agar kerajaan membuat penangguhan sementara bagi sebarang polisi atau rancangan untuk mengeksport beras putih ke negara lain sehingga kadar sara diri makanan Malaysia mencecah 80 peratus.

"Inisiatif ini akan memastikan bekalan makanan dalam keadaan stabil dan mencukupi di negara kita," katanya.

Beliau berkata, isu kekurangan beras putih tempatan sebenarnya mempunyai beberapa punca antaranya adalah kenaikan harga beras putih import sehingga 36 peratus di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

"Ia menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit dan sekali gus menyebabkan stok beras putih tempatan berkurangan," katanya.

Ujarnya, Gerakan berharap kerajaan memandang serius terhadap isu beekenaan dan mempertimbangkan dengan teliti cadangan tersebut bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan di negara ini supaya rakyat tidak terbeban lagi.

"Isu kekurangan bekalan makanan terutamanya beras ini menjadi agenda utama dalam perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang kerajaan hari ini.

"Kajian yang mendalam harus dilaksanakan supaya masalah tahap keterjaminan makanan negara stabil," katanya.