Privasi, taat suami punca kes keganasan rumah tangga tidak dilapor

Peningkatan kes keganasan rumah tangga merupakan impak jangka panjang pandemik Covid-19 seterusnya menimbulkan pelbagai masalah termasuk sosio-ekonomi. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Anfaal)
Peningkatan kes keganasan rumah tangga merupakan impak jangka panjang pandemik Covid-19 seterusnya menimbulkan pelbagai masalah termasuk sosio-ekonomi. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Anfaal)
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan kes keganasan rumah tangga merupakan impak jangka panjang pandemik Covid-19 seterusnya menimbulkan pelbagai masalah termasuk sosio-ekonomi.

Exco Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Shaari berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengenal pasti seseorang yang menghadapi tekanan ekonomi dan pengangguran lebih cenderung melakukan keganasan.

Menurutnya, keganasan rumah tangga juga didorong sikap dan tingkah laku pendera itu sendiri yang dipengaruhi kuasa atau kawalan terhadap pemandiri atau mangsa.

"Keganasan domestik ini masih taboo dalam kalangan masyarakat yang memandangnya sebagai isu privasi dan wanita menghadapi dilema kerana sebahagiannya masih berpegang dengan ketaatan kepada suami walaupun dizalimi dan ditindas.

"Keadaan itu menyebabkan jiran dan komuniti tidak dapat berfungsi untuk menjamin keselamatan pemandiri dalam isu keganasan domestik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi di seluruh negara sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor.

Justeru, Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, menasihati mangsa untuk berani tampil melaporkan kepada pihak berkuasa agar tidak berterusan menjadi mangsa keganasan.

"Sekiranya sukar untuk mengambil langkah tersebut, bercakaplah dengan orang terdekat atau dapatkan bantuan kaunseling dan nasihat menerusi talian yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan negeri perkenal talian SELamat yang merupakan talian hotline khusus bagi keganasan rumah tangga yang dikendalikan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) di talian 03-64195027.

Katanya, talian itu menawarkan dua jenis perkhidmatan kaunseling atau psikologi sama ada secara bersemuka atau atas talian yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah.

"Kes yang diterima akan ditangani dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta rumah perlindungan serta agensi lain berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), hospital dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan berpandukan Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM).

"Kerajaan Selangor telah bekerjasama dengan rumah-rumah perlindungan menerusi pemberian geran ke sembilan Rumah Perlindungan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM180, 000 bagi memberi perlindungan sementara kepada mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 53 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan melalui Talian SELamat dengan keganasan psikologi mencatat aduan tertinggi.

"Kes-kes yang diterima dan ditangani melalui Talian SELamat akan menggunakan istilah sebagai kes rujukan dan menurut statistik, kes rujukan tertinggi adalah merupakan rujukan kaunseling dan juga rujukan kepada JKM," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut membentuk Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (KRT) selain menyediakan Dana Bantuan Guaman Negeri Selangor bagi membantu wanita berpendapatan RM5,000 ke bawah yang berhadapan dengan isu keganasan domestik untuk mendapatkan bantuan guaman syariah.

"Kerajaan Negeri melalui WBS juga melaksanakan program advokasi dan latihan antaranya, pelaksanaan Kursus Asas Komuniti Sulh Dan Rakan Sokongan Keluarga.

"Insya-ALLAH Selangor akan terus melaksanakan lebih banyak inisiatif dan program dalam memperkukuhkan keluarga dengan agama, nilai murni dan nilai ketimuran sebagai asas utama," katanya.