Sembunyi kamera: Airbnb keluarkan akaun pengendali inap desa

KUALA LUMPUR - Pasukan keselamatan Airbnb telah bertindak mengeluarkan akaun pengendali sebuah inap desa di Sabah sementara menunggu siasatan susulan dakwaan pelancong asing bahawa terdapat kamera tersembunyi yang dipasang dalam soket dinding di mana mereka menginap.
Pengurus Besar Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan Amanpreet Bajaj dalam e-mel kepada Bernama berkata, pihaknya melarang perbuatan sedemikian serta kecewa apabila mendengar insiden seperti itu berlaku.
"Meskipun insiden membabitkan keselamatan jarang berlaku di premis Airbnb, kami mengambil serius laporan sebegini dan kami telah memberikan sokongan kepada tetamu kami,” katanya.
Amanpreet mengulas laporan Bernama pada Ahad lepas yang menyebut Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) memandang serius dakwaan pelancong asing bahawa terdapat kamera tersembunyi yang dipasang dalam soket dnding di sebuah inap desa di mana mereka menginap.