Warga emas hidup 'berteman' timbunan sampah

Keadaan rumah dipenuhi sampah. Foto: FB MBI
Keadaan rumah dipenuhi sampah. Foto: FB MBI
A
A
A

IPOH - Sikap terlalu prihatin terhadap alam sekitar menyebabkan seorang warga emas mengabaikan keselesaan jirannya, apabila rumahnya menjadi ‘gudang’ pengumpulan sampah untuk dikitar semula sehingga gagal diurus dengan baik sejak tiga tahun lepas.

Sikap wanita berusia 60-an itu menyebabkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terpaksa menghantar tiga lori berkapasiti lapan tan ke rumahnya di Jalan Merpati, Taman Ipoh, pagi tadi untuk mengutip dan membuang ‘timbunan’ sampah yang dianggarkan seberat tiga tan.

MBI dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan hari ini merupakan kali ketiga pihak berkuasa tempatan itu menjalankan operasi pembersihan di lokasi sama selepas wanita berkenaan gagal menghentikan perbuatannya meskipun telah berkali-kali diberi nasihat.

Menurut MBI, wanita itu dan suaminya pernah dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalani kaunseling, namun ‘kegiatan’ warga emas itu tetap berulang.