Sindiket curi kereta 'Jibam Makam' tumpas

Antara barangan yang dirampas dan kereta curi dalam serbuan dilakukan terhadap sindiket curi kereta Jibam Makam, Ahad lalu.
Antara barangan yang dirampas dan kereta curi dalam serbuan dilakukan terhadap sindiket curi kereta Jibam Makam, Ahad lalu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Kota Tinggi berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian kenderaan di daerah ini selepas menumpaskan sindiket curi kereta Jibam Makam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, seramai lima lelaki dan seorang perempuan tempatan berusia 23 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di sebuah premis bengkel kenderaan di kawasan Kampung Makam oleh sepasukan polis dari unit Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

"Hasil pemeriksaan pasukan serbuan telah menjumpai tiga buah kereta disyaki dicuri, selaras senapang patah bersama empat butir peluru penabur dan lima butir kelongsong peluru 0.38MM.

"Turut dijumpai dua peket kecil plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi dadah disyaki jenis heroin anggaran berat 72.2 gram dan syabu 3.2 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kereta yang tidak dipasang kunci tambahan seterusnya bertindak meleraikan komponen kereta untuk dijual dan rangka kereta dipotong serta dilupuskan.

"Semakan rekod jenayah mendapati empat suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau iaitu lapan kesalahan jenayah dan 11 kesalahan jenayah narkotik," katanya.

Ahsmon berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Mei ini.

Beliau juga memaklumkan kesemua suspek yang ditangkap dan barang-barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 6(1) Akta Bahan- Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

"Berikutan penangkapan kumpulan sindiket ini pihak polis masih lagi mengesan beberapa individu yang masih bebas dipercayai merupakan ahli kumpulan sindiket," katanya.