Insiden DIBW 2023 Desaru boleh jejaskan imej sektor pelancongan negara

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Insiden pergaduhan ketika acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Kota Tinggi, Sabtu lepas, dilihat boleh menjejaskan imej industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata, insiden seumpama itu tidak sepatutnya berlaku, dan penganjur program berskala besar yang bertaraf antarabangsa seharusnya lebih profesional dan bijak dalam mengendali sebarang isu atau situasi sepanjang program berlangsung bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Saya belum lagi terima laporan lebih lanjut. Bagaimanapun nasihat untuk mana-mana penganjur terutama melibatkan program-program antarabangsa, kita mesti jujur, apa-apa isu mesti duduk semeja, bincang selesaikan dan janganlah buat kecoh kerana imej negara yang baik akan terjejas di mata dunia.

"Kita tidak akan campur tangan kerana sudah menjadi siasatan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Hotel Thistle, di sini malam Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian pergaduhan ketika acara DIBW 2023 di Kota Tinggi, tiga hari lepas.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial dipercayai insiden pergaduhan sekumpulan individu di acara berkenaan sehingga melibatkan kerusi dan kayu.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki tempatan masing-masing yang berusia 30 dan 50 tahun, dipercayai terlibat dalam pergaduhan dan sedang mengesan mereka yang lain.

Menurut beliau pergaduhan kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan peserta motosikal tempatan dan Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - Bernama