YDP Pas Langkawi angkat sumpah Speaker DUN Kedah

Zubir mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Kedah bagi penggal ke-15 pada Isnin.
Zubir mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Kedah bagi penggal ke-15 pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Yang Dipertua (YDP) PAS Langkawi, Mohd Zubir Ahmad mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baharu sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Isnin.

Zubir, 60, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Setiausaha DUN, Mohamad Azlee Ahmad di Wisma Darul Aman, di sini.

Pemilihan Zubir sebagai Speaker DUN baharu dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Pas-Jeneri) dan disokong Exco Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Aishah Ghazali.

Sebelum itu, Zubir diumumkan sebagai calon tunggal bagi jawatan tersebut termasuk memperoleh surat persetujuan daripada semua DUN.

Zubir pernah bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagaimanapun beliau tewas kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menggantikan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Juhari Bulat yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah lepas.

Dalam pada itu, kesemua 36 ADUN Kedah turut mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat baharu pada Sidang DUN pada penggal ke-15 itu.

Pada PRN Kedah,Perikatan Nasional (PN) menang 33 kerusi DUN Kedah, manakala tiga kerusi DUN dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan: