Weng San dilantik Speaker DUN Selangor

Weng San mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Selangor baharu. - Foto Facebook ADUN Kinrara, Ng Sze Han
Weng San mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Selangor baharu. - Foto Facebook ADUN Kinrara, Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15.

Weng San mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN baharu menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim yang kini menyandang jawatan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor.

"Saya telah dipilih menjadi Speaker dengan sesungguhnya mengangkat sumpah menunaikan tanggungjawab dan mengaku taat setia kepada negeri Selangor bagi memilih dan melindungi serta mempertahankan negeri Selangor," katanya semasa mengangkat sumpah di DUN Selangor pada Selasa.

Weng San dipilih selepas terdapat dua pencalonan Speaker dikemukakan oleh gabungan dianggotai Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) mewakili kerajaan dan pembangkang diwakili Perikatan Nasional (PN).

Weng San dicadang oleh Suee Lim menerima 34 undi menerusi undian bersurat yang berlangsung kira-kira 30 minit.

PN pula mencadangkan Mohd Fuad Mohd Salleh, bagaimanapun beliau hanya mendapat 22 undi.

Bagi jawatan Timbalan Speaker pula, ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin dipilih menjawat jawatan itu selepas memperoleh 34 undi menewaskan ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah dari PN yang mendapat 22 undi.

Mohd Kamri dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor yang baharu. - Foto Facebook ADUN Kinrara, Ng Sze Han
Mohd Kamri dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor yang baharu. - Foto Facebook ADUN Kinrara, Ng Sze Han

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Julai lalu, DAP mencadangkan Weng San sebagai Speaker DUN Selangor sekiranya gabungan PH-BN memenangi pilihan raya negeri (PRN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut merupakan syarat yang telah ditetapkan susulan DAP telah menyerahkan DUN Dusun Tua kepada BN.

Gabungan PH dan BN memenangi PRN pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 34 daripada 56 DUN, sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15.

Pada 21 Ogos, seramai 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah.