Felda bukan lagi kubu kuat UMNO - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim ketika ceramah umum PRK DUN Pelangai di Felda Chemomoi pada Ahad.
Tuan Ibrahim ketika ceramah umum PRK DUN Pelangai di Felda Chemomoi pada Ahad.
A
A
A

BENTONG - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kawasan penempatan Felda kini tidak lagi menjadi kubu kuat UMNO.

Menurutnya, perkara itu terbukti apabila sokongan peneroka dilihat sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Kalau dulu sebut Felda, kubu UMNO sekarang tidak dan kini menjadi kubu kuat Pas dan Bersatu. Tengoklah pilihan raya baru-baru ini, mana ada Felda, kita menang besar.

"Yang paling tragis DUN Pulau Tawar yang mempunyai banyak Felda, iaitu 16 kawasan. Logik akal tak menang sebab peneroka hutang budi (kepada UMNO), tetapi PN menang juga," katanya dalam ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Felda Chemomoi di sini pada Ahad.

Selain Felda Chemomoi, DUN Pelangai mempunyai dua penempatan Felda iaitu Felda Kemasul dan Felda Kemahal.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) terdapat 7,983 pengundi bagi ketiga-tiga Felda tersebut.

Tuan Ibrahim berkata, masalah kesinambungan Felda menjadi isu utama yang membelenggu warganya sekarang ini.

Katanya, masalah soal hutang Felda yang ditangani ketika kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkan mereka menyokong PN.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini yang jadi masalah adalah hutang tanam semula. Berapa sebenarnya? Hutang jalan ladang... jalan dah ada tapi buat baharu.

"Takkan kosnya besar sampai nak habis umur pun tak habis lagi hutang," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, keputusan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP telah melemahkan parti itu.

"Sepatutnya isu Islam dia tidak campur tangan, isu RUU tidak campur tangan. Malah DAP hari ini terangan mengekalkan pendirian negara sekular dan Malaysian Malaysia, kita menentang tetapi UMNO boleh terima.

"Sebab itu kita letak isyarat penting dalam pilihan raya ini untuk beri tekanan supaya fikir balik masa depan Pahang dan Malaysia. Ini kita mahu supaya hala tuju jelas," katanya.