RM57.2 juta diperuntuk kepada Perlis tangani isu, impak banjir

Tiong Sii (enam, kanan) bergambar selepas melawat sekitar Pasar Terapung sempena perasmian sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 di Pasar Terapung, JPS Perlis pada Ahad. - Foto Bernama
Tiong Sii (enam, kanan) bergambar selepas melawat sekitar Pasar Terapung sempena perasmian sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 di Pasar Terapung, JPS Perlis pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM57.2 juta kepada kerajaan negeri Perlis bagi menangani impak kejadian banjir kepada penduduk di negeri itu, kata Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Seri Huang Tion Sii.

Tion Sii berkata, peruntukan itu disalurkan di bawah Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi bagi menangani masalah banjir di kawasan risiko tinggi seluruh negara mulai 2023 hingga 2030 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.8 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis turut menerima peruntukan sebanyak RM127 juta bagi melaksanakan tiga projek yang bukan sahaja memfokuskan kepada projek tebatan banjir, malahan melibatkan pemulihan empangan dan pemuliharaan sungai demi kesejahteraan rakyat Perlis.

"Peruntukan tersebut adalah di bawah Rolling Plan Pertama sehingga Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS 2023) Peringkat Kebangsaan di Pasar Terapung JPS Perlis di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosli Isa dan Ketua Pengarah JPS Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Anuar Othman.

Tion Sii berkata, di samping itu, sebagai persediaan untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut dan mengurangkan impak kejadian banjir pada penghujung tahun ini, JPS turut memperuntukkan RM2.5 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja kecemasan di luar jangka.

Sementara itu, katanya, dalam menghadapi fasa peralihan monsun dan Monsun Timur Laut, semua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu telah diarah untuk membuat persediaan awal untuk menghadapi bencana banjir.

"Di seluruh Perlis sendiri, sebanyak 36 buah stesen telemetri aras air sungai dan 48 buah stesen hujan serta 12 stesen siren amaran banjir telah dipasang,

Artikel Berkaitan:

"Bagi model ramalan banjir bagi lembangan Sungai Perlis pula telah beroperasi dan berupaya memberi ramalan banjir tujuh hari lebih awal serta amaran banjir pula sehingga dua hari lebih awal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tion Sii memaklumkan sambutan Hari Sungai Sedunia diadakan bersebelahan Sungai Perlis kerana ia merupakan simbolik perpaduan, budaya dan gambaran sosioekonomi penduduk di negeri ini.

HSS 2023 yang buat julung kalinya diadakan di Perlis dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik antaranya jualan produk tempatan di pasar terapung, pertandingan memancing ikan, kempen derma darah dan pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi serta syarikat tempatan. - Bernama