Tindakan SKMM terhadap portal berita bertentangan semangat PM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran, memanggil dan menyekat beberapa portal berita jelas bertentangan dengan semangat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melahirkan suasana media kondusif untuk para pengamalnya bekerja tanpa ragu serta takut.

Kumpulan wartawan veteran dan pengamal media dalam satu kenyataan memaklumkan, sedangkan Anwar berkali-kali menekankan pentingnya media bebas dan bertanggungjawab.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri juga berjanji akan mengambil sikap terbuka terhadap kritikan atau teguran.

"Kami kesal dengan tindakan SKMM yang bertindak menyekat beberapa portal berita. Dalam perkembangan terbaru, portal berita MalaysiaNow telah diarahkan untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.

"Reaksi SKMM itu hanya memperlihatkan kedangkalan dalam memahami tugas dan peranan media," kata kenyataan itu pada Ahad.

Kumpulan tersebut terdiri daripada 21 penandatangan antaranya Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr Datuk Hussamuddin Yaacub dan Datuk Dr Chamil Wariya.

Tambah kenyataan itu, SKMM harus faham dalam sistem demokrasi media, bebas dan bertanggungjawab adalah prasyarat yang utama.

"Rata-ratanya pengamal media memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan. Masalah yang dihadapi oleh SKMM dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak pengamal media menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga tahu tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana di dunia. Tetapi pengamal media harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga rakyat," kata kenyataan itu.

Kumpulan itu juga turut kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya dengan perkara yang berlaku di Dewan Rakyat sewaktu penggulungan Anwar baru-baru ini.

Tambah kenyataan itu, terdapat ahli Parlimen yang bertindak di luar adab dan tata susila serta melanggar peraturan mesyuarat yang menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari tersebut.

"Namun demikian apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat negara ini dan cebisan daripada peristiwa kekecohan itu boleh didapati dalam semua platform media sosial.

"Maka itu adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya. Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan," kata kenyataan itu.