SKMM ambil tindakan terhadap portal TV Pertiwi

SKMM kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh TV Pertiwi memandangkan proses siasatan terhadap portal itu masih dijalankan.
SKMM kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh TV Pertiwi memandangkan proses siasatan terhadap portal itu masih dijalankan.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap TV Pertiwi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya berasa kesal susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh TV Pertiwi memandangkan proses siasatan terhadap portal itu masih dijalankan.

“Dalam pertemuan yang berlangsung pada 22 Ogos lalu, isu yang berbangkit daripada sekatan yang dikenakan ke atas pihak mereka masih dibincangkan.

“Kami telah menjelaskan bahawa proses siasatan sedang dijalankan dan sebarang pendedahan berkaitan perkara ini boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Pada Sabtu, TV Pertiwi dalam kenyataan memaklumkan SKMM menghantar emel meminta mereka menurunkan enam kandungan yang didakwa cuba membangkitkan sentimen kebencian terhadap institusi raja, perkauman dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian dalam negara.

Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut diambil sebagai menjalankan kewajipan mengikut akta sedia ada.

“Kami teguh dalam menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan terutama yang berkaitan dengan kandungan yang palsu atau jelik,” kata kenyataan itu.