Cub Prix: Ahmad Afif juara CP150

Ahmad Afif Amran muncul juara pusingan ketujuh kategori Perdana CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Ahmad Afif Amran muncul juara pusingan ketujuh kategori Perdana CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
A
A
A

PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran muncul juara pusingan ketujuh kategori Perdana CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu.

Pelumba berusia 28 tahun itu berkata, dia bekerja keras menampilkan aksi terbaik untuk mengekalkan momentum perlumbaan meskipun dicabar hebat rakan pasukannya, Mohd Akid Aziz.

"Mohd Akid antara pencabar utama saya pada kejohanan kali ini. Masa perlumbaan tadi saya bermula dengan agak baik dan ada mendahului untuk satu lap namun dipintas rakan pasukan, Mohd Akid.

"Saya cuba berusaha keras mengejar Mohd Akid dan apabila tiga minit terakhir itu, saya lihat momentum Mohd Akid agak 'drop' maka saya cuba ambil kesempatan pintas dia pada lap terakhir.

"Memang boleh dikatakan setiap pusingan itu, saya berusaha 100 peratus. Jadi kalau boleh nak berada Top 3 dalam kejohanan seterusnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Afif berkata, kejayaan tersebut didorong usaha pasukan selain keadaan jentera yang stabil serta bekerja keras telah membolehkan dirinya bagi menamatkan perlumbaan tersebut dengan baik.

"Terima kasih Petronas atas kerja keras serta jentera terbaik pada setiap tahun. Kalau boleh tahun ini saya nak terus memenangi kejohanan.

"Matlamat saya untuk maju bersama dengan rakan sepasukan untuk menjadi lebih baik ke hadapan. Kita mahu berjaya sebagai satu pasukan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlumbaan itu, Ahmad Afif meraih gelaran selepas melengkapkan 20 pusingan dalam masa 16 minit 20.549 saat (s) dan diikuti Md Akid Aziz (16:21.313s) dan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin (16:27.926s)