KPDN tambah tenaga kerja pantau bekalan beras

Armizan ketika bertemu pengamal media pada Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Pahang di Dataran Simpang Pelangai, Bentong pada Jumaat. - Foto Bernama
Armizan ketika bertemu pengamal media pada Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Pahang di Dataran Simpang Pelangai, Bentong pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

RAUB - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan bilangan tenaga kerja untuk tugas pemantauan bagi menambah baik Op Jamin Fasa Dua yang menumpukan kepada pemantauan bekalan dan harga beras di seluruh negara.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahan seramai 900 pegawai pemantau harga KPDN, menjadikan keseluruhan tenaga kerja terlibat seramai 2,390 orang, menyaksikan 8,684 buah premis berjaya diperiksa secara kumulatif sejak operasi itu dilancarkan 7 Julai lepas.

"KPDN bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras mengadakan Op Jamin di seluruh negara dan kita putuskan untuk meneruskan fasa dua dengan pelbagai penambahbaikan.

"Tumpuan Op Jamin ini memantau bekalan dan harga beras di semua peringkat rantaian... dengan meningkatkan tenaga kerja pemantauan, kita berjaya melipatgandakan jumlah premis yang diperiksa meliputi semua peringkat termasuk pengilang, pemborong dan peruncit," katanya.

Armizan berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Op Jamin di daerah ini hari ini, yang dibuat bagi melihat situasi semasa di lapangan berhubung kedudukan bekalan harian seperti beras, gula dan minyak masak.

Beliau berkata, kementerian juga akan terus mencari penambahbaikan berhubung isu barangan keperluan harian yang akan dibawa ke mesyuarat pasca Kabinet.

"Kita cuba bentang mekanisme terbaik kerana penguatkuasaan bukan untuk isu beras ini sahaja tetapi kita cuba mencari penyelesaian jangka masa panjang," katanya.

KPDN juga akan terus menggiatkan tindakan penguatkuasaan di bawah perundangan dan bidang kuasanya jika berlaku isu penukaran label kampit beras susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI).

Artikel Berkaitan:

Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 atau mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang atau perkhidmatan. - Bernama