LPP jamin bekalan beras mencukupi

Azulita (tengah) meninjau beras yang dijual selepas merasmikan Jualan Agro Madani@Peladang Outlet anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Azulita (tengah) meninjau beras yang dijual selepas merasmikan Jualan Agro Madani@Peladang Outlet anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi jaminan bekalan beras putih tempatan mencukupi walaupun ramai yang melakukan pembelian panik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, LPP mengambil pendekatan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menjual beras di 40 kawasan terpilih.

Menurut beliau, pihaknya terus menghubungi kilang bagi mengagihkan makanan ruji itu mengikut lokasi sesuai.

"Wujud masalah apabila orang ramai mula panik dan membuat pembelian dalam jumlah yang banyak mengakibatkan beras berkurangan," katanya selepas merasmikan Jualan Agro Madani@Peladang Outlet anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Beliau turut memberitahu, cabaran lain yang dihadapi ialah keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan bekalan beras agak terhad.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak dibimbangi kerana bekalan tetap mencukupi.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 700 tan metrik beras putih tempatan diedarkan ke seluruh Semenanjung semalam menerusi program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir.

Pengagihan dilakukan melalui premis di bawah LPP dan FAMA di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.

Artikel Berkaitan:

Jumlah pengedaran untuk tempoh sehingga hujung tahun ini ialah sebanyak 300 tan metrik, manakala FAMA (peroleh) pula sebanyak 400 tan metrik.

Sementara itu, Azulita memaklumkan, jualan Agro Madani dapat membantu mengurangkan kos sara hidup terutama di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, sebanyak lapan daripada 10 program jualan Agro Madani sudah dilaksanakan manakala dua lagi akan diadakan di Bachok dan Machang dalam tempoh terdekat.