Suresh enggan fikir pingat di Hangzhou, fokus momentum ke Paris

Suresh mahu bina momentum di Hangzhou untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris. - Foto Bernama
Suresh mahu bina momentum di Hangzhou untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris. - Foto Bernama
A
A
A

PEMANAH recurve para negara, S Suresh, 'menolak tepi' soal pingat dalam membawa cabaran negara pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China bulan depan.

Juara acara recurve lelaki Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 itu sebaliknya berkata, beliau mahu menjadikan temasya sukan di Hangzhou untuk membina momentum melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

"Saya tak mahu terlalu memikirkan pingat kerana risau diri saya akan hilang fokus pada Sukan Para Asia di Hangzhou nanti. Buat masa sekarang saya hanya sasar untuk mara ke peringkat separuh akhir dahulu, jika ada rezeki pingat ia bonus untuk saya.

"Saya harap boleh dapatkan prestasi terbaik di Hangzhou dan kekalkannya menjelang Kejohanan Memanah Para Asia 2023 di Bangkok pada 16 hingga 25 November ini kerana pemanah yang mara ke final mendapat slot automatik ke Sukan Paralimpik 2024," katanya.

Mengenai persiapannya ke Hangzhou, Suresh berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar dan beliau juga dijadual menyertai sebuah sirkit kebangsaan di Johor dalam masa terdekat sebagai pertandingan terakhir sebelum berlepas ke China.

Beliau dijangka bersaing dengan atlet normal termasuk pelapis skuad recurve kebangsaan dalam sirkit kebangsaan di Johor Bahru nanti.

Dalam pada itu, Suresh menyatakan dia juga akan berwaspada dengan ancaman pencabar dari Korea Selatan, India, Thailand dan Jepun yang mampu memberi tentangan sengit pada Sukan Para Asia nanti.

Selain saingan individu, atlet berusia 30 tahun itu juga akan beraksi dalam satu lagi acara iaitu berpasukan lelaki bersama Nurfaizal Hamzah di Hangzhou.

Artikel Berkaitan:

Suresh-Nurfaizal sebelum ini pernah menyumbang gangsa pada temasya Sukan Para ASEAN ke-11 di Solo, Indonesia tahun lepas selepas mengatasi lawan dari Filipina, Giovanni Ola-William Cablog 6-0.

Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dijadual bermula dari 22 hingga 28 Oktober ini. - Bernama