Johor wajar pertimbang cadangan wujudkan Kerajaan Perpaduan - Nie Ching

Nie Ching (dua kanan) menyerahkan khemah kepada wakil Persatuan Peniaga dan Penjaja Daerah Kulai di Pasar Pagi Merbau, Bandar Putra, Kulai pada Sabtu
Nie Ching (dua kanan) menyerahkan khemah kepada wakil Persatuan Peniaga dan Penjaja Daerah Kulai di Pasar Pagi Merbau, Bandar Putra, Kulai pada Sabtu
A
A
A

KULAI - Sudah sampai masanya Johor mempertimbangkan cadangan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dalam usaha mengukuh hubungan antara Pakatan Harapan (PN) dan BN.

Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, ketika ini wakil-wakil daripada PH sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih tiada dalam kerajaan negeri sebagai Exco.

"Johor saya rasa tak ada lagi perbincangan tentang itu. Apabila Kerajaan Perpaduan ini dibentuk di peringkat pusat, kita di Pakatan Harapan tidak dilantik dalam barisan Exco ataupun duduk dalam kerajaan negeri kerana kerajaan negeri dibentuk lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan.

"Setakat ini memang PH dalam kerajaan Johor masih lagi menjalankan 'check and balance' kita panggil sebagai pengimbang. Kalau ada sebarang apa-apa kekurangan kami akan hadapi bersama.

"Saya rasa memang ada cadangan tersebut tetapi ia terbuka kerana setakat ini kerjasama semakin rapat dan ini yang paling penting," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan khemah kepada 120 peniaga Pasar Pagi Merbau, Bandar Putra di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri kerana ketika ini kerajaan negeri masih lagi diterajui UMNO dan BN sementara PH dan PN masih lagi menjadi pengimbang dengan wakil DAP dilantik sebagai Ketua Pembangkang negeri.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Mac tahun lalu dengan BN mencatat kemenangan besar memperolehi majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) pula menang 10 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) pula meraih tiga kerusi DUN.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, di peringkat negeri masih belum ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan seperti yang ada di peringkat Persekutuan membabitkan semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sekretariat di peringkat negeri sememangnya wajar ditubuhkan kerana kerjasama PH dan BN sudah semakin serasi di Johor dan situasi itu boleh dilihat semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram baru-baru ini.

"Saya rasa sudah sampai masa untuk seketeriat Kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat negeri ataupun seterusnya di peringkat bahagian-bahagian dan juga Parlimen supaya kita boleh rapatkan kerja sama.

"Ini kerana sekarang kami semua duduk dalam Kerajaan Perpaduan, jadi kami nak pastikan bahawa informasi dan maklumat daripada Kerajaan Perpaduan boleh disampaikan kepada semua lapisan masyarakat. Jadi sekreteriat Kerajaan Perpaduan ini memainkan peranan penting untuk pastikan supaya kita nampak usaha dan hala tuju yang sama untuk membantu masyarakat," katanya.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, apa yang penting semua usaha kerajaan Persekutuan akan disokong kerajaan negeri begitu juga sebaliknya.