Kontinjen Malaysia diberi sambutan tradisional di Hangzhou

Kontinjen Malaysia ketika hadir pada Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen untuk Sukan Asia 2022 di Hangzhou pada Jumaat - Foto Bernama
Kontinjen Malaysia ketika hadir pada Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen untuk Sukan Asia 2022 di Hangzhou pada Jumaat - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN Malaysia pada Jumaat diraikan dalam upacara khas, Majlis Sambutan Ketibaan Kontinjen di Perkampungan Atlet di sini menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual membuka tirai secara rasmi pada Sabtu.

Dalam majlis itu, delegasi Malaysia diketuai Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Chong Kim Fatt bersama dua timbalannya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan Profesor Madya Dr Farrah Hani Imran serta pasukan e-sukan dan ahli sekretariat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Hujan renyai-renyai tidak menghalang tumpuan peserta kepada fokus utama acara itu yang menampilkan persembahan kebudayaan Cina seperti tarian singa, gendang, wushu dan tarian tradisional Hangzhou.

Ia diikuti ucapan alu-aluan daripada Datuk Bandar Perkampungan Sukan Asia Hangzhou, Lu Chunqiang.

Majlis itu turut menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah ketika lagu Negaraku dimainkan.

Turut menyertai kontinjen Malaysia pada majlis sambutan itu ialah Macau, Arab Saudi, Timor Leste, Turkmenistan dan Vietnam.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur untuk upacara ini, walaupun hari ini hujan tetapi hujan tidak boleh membasahkan hati kami, hati kami memang membara (untuk bertanding).

"Upacara ini (juga) betul-betul menterjemahkan slogan rasmi Heart to Heart, @Future," kata Kim Fatt ketika ditemui pemberita selepas upacara itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurulatih kebangsaan skuad League of Legends (LOL) Eric Sze Pin Sia berkata: "Saya sangat gembira melihat banyak negara 'bersatu' di sini dan saya sebenarnya sangat teruja dengan cara mereka (tuan rumah) menguruskan segala-galanya untuk Sukan Asia".

Sukan Asia ke-19 bakal menjadi tuan rumah kepada kira-kira 12,000 atlet dari 45 negara yang akan menyertai 481 acara daripada 40 sukan.

Malaysia diwakili 289 atlet yang akan bersaing dalam 22 sukan dengan menyasarkan 27 pingat. - Bernama