Audit kemalangan di Putrajaya diserahkan kepada APAD Isnin depan

Aedy Fadly. Laporan Sinar Harian pada Rabu
Aedy Fadly. Laporan Sinar Harian pada Rabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyerahkan laporan pemeriksaan audit berhubung kes kemalangan maut membabitkan 12 kenderaan di Putrajaya kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Isnin depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya turut terlibat dalam siasatan kes terbabit dan laporan itu sedang disiapkan.

"Pada hari Isnin minggu depan, kita akan menyerahkan laporan lengkap kepada APAD untuk tindakan dan arahan lanjut.

"Kita (JPJ) baharu sahaja menerima laporan kemalangan maut itu daripada pihak polis semalam (Khamis)," katanya dalam sidang akhbar Op Bersepadu bersama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Plaza Tol Awan Besar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, JPJ juga akan menyiasat sama ada lori yang terlibat dalam kemalangan itu bergerak dengan muatan melebihi had.

Ujarnya, itu antara tugas penting yang dikendalikan pasukan penyiasat JPJ kerana kami bukan sekadar melihat kawasan kemalangan tetapi turut melihat tempat lori itu mengambil muatan.

Dalam kejadian pada Rabu, sebuah lori treler yang membawa muatan batu pasir dipercayai telah mengubah laluan dari lorong tengah ke kiri sebelum merempuh 11 buah kenderaan termasuk sebuah motosikal pengiring polis dalam nahas di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya.

Kejadian kira-kira jam 10.14 pagi itu melibatkan enam kereta, dua lori, tiga motosikal dan sebuah motosikal polis trafik, dengan satu daripada lori terlibat dipercayai melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di jalan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, akibat kemalangan itu dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian anggota polis trafik sedang melakukan latihan kawalan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL).