Lelaki didakwa intai pembaca berita

Tertuduh (tengah) didakwa menghantar mesej di media sosial dan berulang kali pergi ke tempat kerja wanita itu.
Tertuduh (tengah) didakwa menghantar mesej di media sosial dan berulang kali pergi ke tempat kerja wanita itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya nak jumpa dia je (sahaja)", kata seorang bekas pekerja restoran secara berulang kali, selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menghendap seorang pembaca berita wanita secara fizikal dan menerusi media sosial, minggu lalu.

Muhammad Azhari @ Azari Abd Rahman, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibaca di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pengintaian terhadap Ainaa Kamalia Jamaludin, 31, dengan menghantar mesej di media sosial dan berulang kali pergi ke tempat kerja wanita itu di Awesome TV, Menara Bank Rakyat, di sini pada jam 4 petang, 17 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Muhamad Sapri Yaakub mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh berkata, ahli keluarga tidak berhasrat untuk menjamin dan memohon tertuduh dihantar ke hospital bagi mendapatkan laporan status kesihatan mentalnya.

“Sebelum ini, dia pernah didaftarkan di Jabatan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi dia tidak pergi ke sana untuk mendapatkan rawatan.

“Saya mohon satu tarikh singkat untuk pasukan pembelaan mendapatkan rekod kesihatannya daripada pihak HKL,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Oktober depan untuk laporan status kesihatan mentalnya.