Lelaki didakwa bunuh bekas teman wanita

Ahli keluarga mangsa bersama peguam pemerhati selepas hadir ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Ahli keluarga mangsa bersama peguam pemerhati selepas hadir ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini pada Isnin kerana membunuh seorang wanita di sebuah kedai di pusat beli belah dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chung King Fung, 32, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Tertuduh juga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh antara jam 12 tengah hari hingga 12.20 tengah hari 29 Mei lalu, bertempat di sebuah kedai di sebuah pusat beli belah di Jalan Haji Saman, di sini telah membunuh Nurul Ain Silien, 21.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik dan ahli keluarga mangsa diiringi peguam pemerhati dari Hamid & Co, Nabila Norsahar manakala tertuduh diwakili peguam, Chun Teck Ming dan Jul Hamri Jumhani.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 11 Julai depan selepas laporan forensik diperoleh daripada Jabatan Kimia.

Tertuduh juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan kekal berada di penjara Kapayan, Kota Kinabalu.

Sementara itu, di luar pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabarkhan mengesahkan kepada pemberita bahawa suspek dan mangsa iaitu anaknya tidak mempunyai hubungan sebagai tunang.

"Mereka bukan bertunang, secara rasminya tiada. Mereka kenal kurang daripada setahun," katanya.

Sinar Harian pada 30 Mei lalu melaporkan seorang wanita dibunuh dengan lapan tikaman selepas suspek cemburu dan tidak berpuas hati kerana pertunangan mereka diputuskan.