Tutup perniagaan atau bangkit semula?

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini ramai dalam kalangan rakan penulis yang mengusahakan perniagaan sama ada yang kecil atau perniagaan ‘sederhana’ mengeluh. Kata mereka, perniagaan yang diusahakan semakin ‘sendu’, malah ada yang hanya menunggu masa untuk gulung tikar.

Ada juga terpaksa buat jualan atau promosi perniagaan tak masuk akal untuk lariskan produk demi untuk kelangsungan hidup kerana mereka juga perlu membayar pelbagai komitmen.

Kongsi rakan-rakan penulis lagi, lebih memeritkan apabila surat tuntut hutang datang satu demi satu sehingga mereka tiada pilihan iaitu menutup semua premis perniagaan sedia ada bagi mengelak tindakan undang-undang daripada pihak pemiutang.

Situasi dihadapi mereka ini, salah satu faktor penyumbang adalah kerana orang ramai kini lebih memilih pendekatan untuk berjimat cermat dan hanya membeli barang mengikut keperluan. Ia susulan harga kebanyakan barang keperluan ketika ini yang mencanak tinggi.

Bagaimanapun, pada pandangan penulis tidak mengapa untuk mereka menutup perniagaan dan struktur semula cara hidup sekarang, selain mengusahakan perniagaan di rumah tanpa premis.

Mereka boleh bermula dari bawah semula untuk membina kehidupan walaupun perit dan mungkin terpaksa hadapi pelbagai cabaran.

Misalnya, bagi mengurangkan kos, apa kata tukar kereta yang dahulunya ‘mewah’ kepada kenderaan lebih kecil. Mungkin ada yang tidak setuju tetapi bagi mengelak kerugian lebih besar, tidak salah jika kita berkorban gaya hidup berdasarkan kepada keadaan ekonomi ketika ini.

Selain itu, mulakan strategi baharu, antaranya belajar ilmu pemasaran menggunakan media sosial terutama jualan secara langsung, sekali gus belajar pula jadi influencer secara sambilan tetapi tidak perlulah terkinja-kinja semata-mata mahu menarik banyak tontonan.

Artikel Berkaitan:

Bagi generasi muda, mungkin tidak ada masalah beralih kepada pendekatan media sosial terutama TikTok tetapi mencabar bagi mereka sudah berumur. Namun, itulah yang perlu mereka ubah kerana zaman juga telah berubah.

Zaman sekarang, nak pesan makanan atau beli beras pun boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu keluar dari rumah. Justeru, amat penting bagi golongan usahawan atau peniaga untuk mula berubah ke arah pendigitalan seperti memasarkan serta mengiklankan produk jualan mereka secara dalam talian.

Jika tak ikut perubahan teknologi dan masih berniaga secara konvensional, peluang nak capai sasaran pelanggan yang lebih meluas mungkin agak terhad. Pada masa sama terpaksa pula bersaing dengan peniaga-peniaga yang otak mereka jauh lebih ‘bergeliga’.

Apa pun, jangan mudah mengalah dan patah semangat. Ingat, jika produk dijual berkualiti sesuai dengan harga, pasti orang akan cari juga walaupun pesaing buat promosi harga ‘gila-gila’.

Selain itu, tidak dinafikan juga, kerajaan melalui agensi berkaitan ada menawarkan kursus pemasaran di media sosial tetapi sayangnya tidak semua mengetahui mengenainya. Tidak tahu di mana silapnya, sama ada silap peniaga tidak peka atau pihak berkenaan kurang promosi.

Dalam pada itu, peniaga juga perlu membina hubungan baik dengan pelbagai agensi dan ia harus dititik beratkan oleh peniaga dalam mengembangkan perniagaan.

Sifirnya lebih kurang begini. Kalau nak orang tahu apa yang kita niagakan, mesti ada rangkaian, contohnya kalau mahu berniaga di luar negara, buat lawatan, sertai karnival atau forum dan dari situ akan jumpa orang sesuai dengan perniagaan kita.

Beberapa cadangan ini sebenarnya sudah lama ada, cuma ia bergantung kepada peniaga sendiri tetapi penulis tidak menolak semua itu perlu modal. Mahu ke Kuala Pilah dari Tanjung Ipoh pun perlu modal minyak, inikan pula berniaga.

Namun, inilah dikatakan pengorbanan yang akan terbayar selepas berjaya. Yakin sahaja dengan ALLAH SWT. Siapa berusaha pasti ada hasil, asalkan jangan putus asa.

Pilihan ada di tangan peniaga, sama ada mengalah dengan tutup terus perniagaan atau bangkit bersama strategi baharu.

*Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan dan Melaka