Isu beras: Peluasan kuasa kepada KPDN jika keadaan meruncing

Mohamad semasa ditemui media selepas membuat tinjauan bekalan Beras Tempatan di Agro Bazar Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
Mohamad semasa ditemui media selepas membuat tinjauan bekalan Beras Tempatan di Agro Bazar Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mahu mendapatkan peluasan kuasa dalam penguatkuasaan isu bekalan beras perlu dibawa ke peringkat perbincangan yang seterusnya termasuk melibatkan pihak berkuasa berkaitan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berpendapat tiada keperluan untuk melaksanakannya buat masa ini dan perkara itu hanya sesuai diadakan sekiranya bekalan barangan makanan berkenaan berada pada tahap meruncing.

"Kalau sampai ke peringkat meruncing barangkali kita akan libatkan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, ketika ini belum sampai meruncing.

"Tapi insya-ALLAH, apabila berlaku tuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang sekarang ini telah lebih 20 peratus, kita jangka bekalan beras tempatan akan berada dalam pasaran dengan sebaiknya,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja bagi pelan intervensi pengedaran beras putih tempatan (BPT) di sebuah kedai runcit di Jalan Kebun Seksyen 30 pada Khamis.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini dilaporkan berkata, beliau berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menimbangkan supaya penguat kuasa KPDN diberikan perluasan kuasa berhubung isu bekalan beras itu.

Dalam pada itu, Mohamad meminta orang awam untuk tampil sekiranya terdapat bukti beras tempatan disorok atau kampitnya ditukar kepada beras import untuk pihak berkuasa mengambil tindakan.

"Setakat ini hanya cakap-cakap, tiada bukti mengatakan kononnya ada tukar kampit dan sebagainya. Kalau tuan-tuan ada bukti sila beritahu, setakat ini hanya khabar angin yang kita tidak temui sebarang bukti secara rasmi,” katanya.

Mengulas kekecohan yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datoh, Perak semalam, Mohamad berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan segera bersama pengilang dan pemborong untuk menambah stok BPT ke cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mengelak kejadian berulang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kekecohan terjadi ekoran stok yang sampai di dua lokasi itu tidak mencukupi dan menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana menunggu lama.

Mohamad juga mengarahkan bekalan BPT segera dihantar ke semua pasar raya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada cawangan FAMA dan LPP, selain menasihati orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik dan menyimpan stok bagi mengelakkan gangguan bekalan. - Bernama