Adik, Burung kantoi

Paparan skrin video tular memaparkan tindakan dua lelaki yang melarikan sebuah beg
Paparan skrin video tular memaparkan tindakan dua lelaki yang melarikan sebuah beg
A
A
A
KLANG - Menyangka beg yang dilarikannya berisi barangan bernilai, namun sebaliknya hanyalah kasut kanak-kanak sahaja.

Lebih malang tindakan dua penjenayah memecah masuk kenderaan itu dirakam oleh pengunjung dalam kejadian di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek dikenali sebagai Burung, 33 dan Adik, 19 ditahan dalam tangkapan berasingan disekitar Klang, pada jam 2.30 pagi dan 12.30 tengah hari, semalam.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memecah masuk sebuah kereta jenis Perodua Kancil sebelum melarikan beg berisi kasut kanak-kanak daripada but kereta.

"Suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX5," katanya kepada Sinar Harian.

Shamsul Amar berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini telah bergerak aktif melakukan jenayah pecah kenderaan sejak sebulan lalu.

Jelas Amar, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk dadah. Malah suspek dikenali sebagai 'Adik' ini juga didapati baru dua bulan keluar daripada penjara atas kesalahan mencuri.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 1minit 37 saat di laman sosial Facebook memaparkan dua lelaki dengan menaiki motosikal telah menuju ke kawasan tempat letak kenderaan di pasaraya berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Salah seorang suspek kemudiannya telah bertindak memecah masuk sebuah kereta jenis Perodua Kancil sebelum melarikan sebuah beg.